Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini dalam keadaan Indeks Dolar AS (DXY) yang menyusut, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4100/4160 daripada dolar AS, menokok daripada 4.4200/4265 semasa ditutup pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY meneruskan trajektori menurun pada sekitar 99 mata hari ini.
“Belum dapat dipastikan sama ada DXY akan kekal pada paras serendah itu meskipun terdapat ketidaktentuan yang kian meningkat mengenai tarif import oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata dolar AS akan meningkat memandangkan peniaga akan beralih kepada mata wang selamat untuk berlindung daripada risiko pasaran.
“Kesemua enam komponen DXY meningkat berbanding dolar AS terutamanya yen Jepun dan pound Britain, masing-masing menokok 0.77 peratus dan 0.61 peratus kepada 142.44 yen dan 1.32 pound bagi setiap dolar AS.
"Dolar AS-ringgit dilihat sedang menguji paras psikologi 4.40 dan kini bergerak pada sekitar 4.40, dengan sesi dagangan pagi ini menyaksikan dolar AS-ringgit mencecah 4.43," katanya.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit telah meraih semula momentum dan pulih daripada penurunan pada sepanjang sesi dagangan.
Beliau berkata prestasi positif ini menjejaki sentimen risiko yang lebih luas susulan penangguhan tarif teknologi selama 90 hari oleh Presiden AS Donald Trump.
“Penangguhan ini telah memberi dan menunjukkan keyakinan terhadap sektor teknologi Malaysia yang sedang bangkit semula,” kata beliau.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0811/0855 daripada 3.0952/1000, naik berbanding euro kepada 5.0199/0267 daripada 5.0207/0281 tetapi menurun berbanding pound Britain kepada 5.8097/8176 daripada 5.7849/7934.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 262.6/263.2 daripada 263.1/263.6, naik berbanding baht Thailand kepada 13.1481/1754 daripada 13.1599/1902 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.75/7.77
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3506/3556 daripiada 3.3495/3549 sebelum ini..
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial