PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA TINGGI BERBANDING DOLAR AS EKORAN KETIDAKPASTIAN DASAR TARIF AS

17/04/2025 09:42 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis namun, dagangan kekal dalam julat kecil apabila peniaga terus memantau ketidaktentuan mengenai dasar tarif AS.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat 0.20 peratus kepada 4.3960/4080 berbanding dolar AS daripada 4.4085/4135 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.83 peratus kepada 99.380 mata.

Beliau berkata penurunan DXY berlaku selepas Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell mengakui wujudnya ketidaktentuan ketara berkaitan dasar tarif AS.

Powell juga mengingatkan bahawa perubahan dasar yang berterusan boleh mengancam dua mandat Fed iaitu untuk memastikan kestabilan harga dan guna tenaga penuh, katanya.

Beliau berkata niaga hadapan ekuiti AS mengalami penurunan, menunjukkan kekecewaan pasaran terhadap petunjuk bahawa Fed mungkin mengambil pendekatan berhati-hati serta tunggu dan lihat, bercanggah dengan jangkaan pasaran untuk penurunan kadar faedah yang lebih tegas.

“Semalam, ringgit meningkat 0.34 peratus berbanding dolar AS kepada 4.4110. Memandangkan DXY yang lebih lemah, dagangan dolar AS-ringgit boleh mencecah lingkungan 4.4000 hingga 4.4100 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 5.0088/0225 daripada 5.0072/0129 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.0947/1036 daripada 3.0861/0898.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.8159/8318 daripada 5.8488/8554.

Pada masa sama, mata wang tempatan didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik naik berbanding rupiah Indonesia kepada 261.0/261.9 daripada 261.8/262.2, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.77 daripada 7.76/7.78 ketika ditutup semalam.

Ringgit lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.3527/3623 daripada 3.3537/3578.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.2810/3297 daripada 13.2547/2773.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan