PASARAN > BERITA

FBM KLCI TINGGI SEMASA AKHIR SESI DAGANGAN PAGI DIDORONG SAHAM PERBANKAN, TELEKOMUNIKASI

18/04/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Jumaat, didorong pembelian berlanjutan ke atas saham berwajaran tinggi terutama sektor perbankan, telekomunikasi dan perladangan, dalam keadaan minat pelabur yang berterusan serta prospek sektor yang optimistik.

Pada 12.30 tengah hari FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.75 mata atau 0.66 peratus kepada 1,493.02 daripada 1,483.27 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.63 mata lebih rendah kepada 1,481.64 dan bergerak antara 1,480.52 hingga 1,493.69 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 309 berbanding 271, manakala 396 kaunter tidak berubah, 1,447 kaunter tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 906.42 juta saham bernilai RM540.48 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan pihaknya menjangkakan aliran pesanan lebih tinggi diterima oleh kalangan pengeluar sarung tangan Malaysia.

Hal itu didorong oleh perbezaan tarif yang semakin ketara dengan sarung tangan buatan China, serta penurunan kos bahan mentah -- faktor yang dijangka menyokong permintaan dan memperkukuh pengembangan margin, jelasnya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu juga memaklumkan susulan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, kedua-dua negara telah menandatangani 31 memorandum persefahaman dan perjanjian meliputi pelbagai sektor termasuk pelancongan, perladangan, teknologi dan pembinaan.

Semalam, Bernama melaporkan sentimen pelabur semakin bertambah baik susulan lawatan Xi ke Asia Tenggara -- merangkumi Vietnam, Malaysia dan Kemboja -- yang secara strategik bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi dalam suasana ketegangan perdagangan yang memuncak dengan Amerika Syarikat.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 7.0 sen kepada RM9.94, Public Bank menambah 5.0 sen kepada RM4.38, CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing meningkat 5.0 sen kepada RM6.81 dan RM6.90, manakala Tenaga Nasional menokok 2.0 sen kepada RM13.50.

Bagi saham aktif, Tanco Holdings meningkat 3.0 sen kepada 89 sen, Widad Group naik 1.0 sen kepada 4.0 sen, Ingenieur Gudang menokok setengah sen kepada 3.5 sen, manakala HB Global susut 2.0 sen kepada 7.0 sen dan Bina Puri mendatar pada 34.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 64.80 mata kepada 11,065.11, Indeks FBMT 100 menokok 69.05 mata kepada 10,853.15, Indeks FBM Emas Syariah naik 56.14 mata kepada 10,870.08, dan Indeks FBM 70 melonjak 91.55 mata kepada 15,518.96, manakala Indeks FBM ACE susut 8.56 mata kepada 4,549.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 139.10 mata kepada 17,920.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.12 mata kepada 144.35, Indeks Tenaga menokok 6.39 mata kepada 661.74, dan Indeks Perladangan menambah 61.72 mata kepada 7,204.87.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan