PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN ALIRAN MENINGKAT DIPACU SENTIMEN POSITIF PASARAN

24/04/2025 07:19 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan peningkatan semalam untuk ditutup kukuh hari ini, kekal melepasi paras 1,500 mata, disokong sentimen pasaran yang semakin pulih susulan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin reda, walaupun prestasi pasaran serantau bercampur-campur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.33 mata, mewakili 0.36 peratus kepada 1,506.52 daripada 1,501.19 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.64 mata lebih rendah pada 1,500.55 dan bergerak antara  1,500.40 dan 1,507.45 sepanjang hari.

Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 462 berbanding 426, manakala 457 kaunter tidak berubah, 1,070 tidak diniagakan dan 13 digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.08 bilion unit bernilai RM2.14 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM2.08 bilion pada Rabu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kekuatan berterusan saham-saham berwajaran tinggi dalam sektor perkhidmatan kewangan, yang dipacu oleh penyertaan semula institusi, menjadi pemacu utama ketahanan pasaran tempatan.

 Beliau berkata, data perdagangan terkini Malaysia mengesahkan keteguhan sektor luarnya, sekali gus meningkatkan optimistik dalam pasaran.

“Eksport meningkat sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun pada Mac 2025, dengan AS muncul sebagai destinasi eksport utama Malaysia.

“Penghantaran ke AS melonjak sebanyak 50.8 peratus kepada RM22.7 bilion, didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) (+68.3 peratus), barangan pembuatan lain (+90.4 peratus), dan makanan yang diproses (+96.1 peratus).

“Angka ini menunjukkan kepentingan strategik Malaysia dalam rantaian bekalan global berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” katanya kepada Bernama.

Dalam masa sama, Mohd Sedek berkata walaupun tarif timbal balas sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh AS bermula 9 April masih membayangi pasaran, perkembangan diplomatik terkini membantu meredakan kebimbangan para pelabur.

“Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April menunjukkan komitmen serantau untuk berunding, bukan bertindak balas, sekali gus mengurangkan risiko ketegangan perdagangan yang lebih meluas.

“Keyakinan pelabur turut disokong oleh lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke Washington untuk bertemu dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer dan pegawai kanan lain,” katanya.

Beliau berkata lawatan itu walaupun bersifat perbincangan, bertujuan untuk mengukuhkan peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor dan E&E Asia-AS, di samping menangani salah faham berkaitan pematuhan.

“Keseluruhannya, perkembangan ini menunjukkan hala tuju dasar yang lebih konstruktif. Sekiranya momentum diplomatik ini berterusan, pasaran ekuiti Malaysia mendapat manfaat daripada penarafan semula, terutamanya dalam sektor yang sensitif perdagangan dan berorientasikan eksport," katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM13.60, CIMB meningkat 13 sen kepada RM6.98, IHH Healthcare menambah 2.0 sen kepada RM6.88, manakala Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.37 dan Maybank kekal pada RM9.95.

Antara saham aktif, Bina Puri naik 3.0 sen kepada 37.5 sen, SFP Tech dan My E.G. Services masing-masing menokok setengah sen kepada 21 sen dan 89.5 sen, Pos Malaysia meningkat 5.5 sen kepada 29 sen, dan Tanco menambah 1.0 sen kepada 85.5 sen.

Bagi papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 32.94 mata kepada 11,154.54, Indeks FBMT 100 meningkat 33.39 mata kepada 10,936.15, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 42.68 mata kepada 10,989.32, Indeks FBM 70 mengukuh 26.30 mata kepada 15,577.18, manakala Indeks FBM ACE naik 0.81 mata kepada 4,603.50.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 57.71 mata kepada 17,995.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.72 mata kepada 145.91, Indeks Tenaga melonjak 4.11 mata kepada 665.84, namun Indeks Perladangan susut 21.13 mata kepada 7,193.36.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.50 bilion unit bernilai RM1.92 bilion berbanding 1.37 bilion unit bernilai RM1.83 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.23 bilion unit bernilai RM120.59 juta daripada 1.19 bilion unit bernilai RM117.86 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 353.04 juta unit bernilai RM107.88 juta berbanding 427.40 juta unit bernilai RM130.50 juta pada Rabu.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 188.02 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (208.83 juta), pembinaan (228.89 juta), teknologi (199.57 juta), SPAC (sifar) perkhidmatan kewangan (100.81 juta), hartanah (181.42 juta), perladangan (13.12 juta), REIT (21.98 juta), dana tertutup (117,400), tenaga (120.20 juta), penjagaan kesihatan (49.71 juta), telekomunikasi dan media (46.66 juta), pengangkutan dan logistik (65.70 juta), utiliti (74.38 juta), dan amanah perniagaan (133,700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan