KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang positif, didorong oleh pendapatan korporat yang menggalakkan terutamanya daripada syarikat induk Google, Alphabet Inc yang mencatatkan prestasi lebih tinggi daripada jangkaan.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.23 mata kepada 1,509.75 daripada 1,506.52 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 5.12 mata kepada 1,511.64.
Suasana pasaran positif, dengan 221 kaunter untung mengatasi 93 kaunter rugi. Sejumlah 227 kaunter tidak berubah manakala 1,916 tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 140.44 juta saham bernilai RM70.59 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pendapatan Alphabet yang meningkat 12 peratus tahun ke tahun, mengatasi jangkaan Wall Street sebanyak 10 peratus.
“Prestasi yang lebih baik daripada jangkaan (oleh Alphabet) menyumbang kepada kenaikan semalaman Wall Street dengan minat belian tertumpu terutamanya kepada saham berkaitan teknologi.
“Sementara itu, hasil 10 tahun AS merosot kepada 4.315 peratus,” katanya kepada Bernama.
Di Hong Kong, katanya Indeks Hang Seng susut di bawah paras 22,000 susulan kenyataan bahawa Washington tidak menawarkan untuk menurunkan tarif secara unilateral.
“Peniaga juga kecewa berikutan AS tidak menunjukkan pelan tindakan yang jelas untuk meredakan ketegangan perdagangan,” katanya.
Dalam negara, Thong berharap FBM KLCI akan terus melepasi paras 1,500 yang disokong oleh aktiviti belian asing.
“Kami terkejut dengan aliran masuk asing bersih pada Rabu, yang jarang berlaku pada tahun ini dan diharap ini akan berterusan.
“Pada masa ini, ia berada di bawah 14 kali nisbah harga kepada keuntungan. Penilaian untuk bursa tempatan dilihat menarik, justeru, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,500 hingga 1,515 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM9.97 dan RM13.62, CIMB naik 4.0 sen kepada RM7.02, IHH Healthcare berkurangan 1.0 sen kepada RM6.87 manakala Public Bank mendatar pada RM4.37.
Dalam dagangan aktif, Yong Tai naik 2.0 sen kepada 24 sen, Bina Puri merosot 12 sen kepada 25.5 sen, Pos Malaysia berkurangan 2.5 sen kepada 26.5 sen manakala Jiankun International dan My E.G. Services, masing-masing mendatar pada 3.0 sen dan 89.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 29.80 mata kepada 11,184.34, Indeks FBMT 100 meningkat 28.71 mata kepada 10,964.86, Indeks FBM Emas Shariah menambah 27.37 mata kepada 11,016.69, Indeks FBM 70 menokok 61.94 mata kepada 15,639.12 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 4.57 mata kepada 4,598.93.
Dalam sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 41.30 mata kepada 18,037.22, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.96 mata kepada 146.87, Indeks Tenaga menambah 2.35 mata kepada 668.19 manakala Indeks Perladangan merosot 11.10 mata kepada 7,182.26.
Sementara itu, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia menerima laporan semalam bahawa broker telah mengenal pasti kegagalan log masuk atau akses dan aktiviti dagangan tanpa kebenaran oleh pelanggan yang dilaksanakan melalui akaun dagangan dalam talian pelanggan yang terhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial