PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN ALIRAN MENINGKAT BAGI HARI KETIGA SUSULAN MINAT BELIAN BAHARU

25/04/2025 08:00 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran kenaikannya untuk hari ketiga berturut-turut pada Jumaat.

Ia ditutup lebih tinggi berikutan minat belian baharu dan disokong oleh prestasi pasaran serantau yang positif susulan potensi ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China mereda.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.68 mata atau 0.18 peratus kepada 1,509.20 daripada 1,506.52 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras dibuka 5.12 mata lebih tinggi pada 1,511.64 dan bergerak antara 1,505.68 hingga 1,512.29 sepanjang hari.

Sentimen pasaran pula positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 651 berbanding 325 manakala 434 kaunter tidak berubah, 1,047 tidak diniagakan dan 39 lagi digantung.

Jumlah dagangan menokok kepada 3.10 bilion unit bernilai RM1.95 bilion daripada 3.08 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sesuatu yang menarik apabila pelabur asing muncul semula sebagai pembeli bersih dengan aliran masuk bersih positif direkodkan pada Rabu dan Khamis.

Beliau berkata dalam sesi dagangan hari ini, sektor yang berorientasikan eksport iaitu kimia, semikonduktor dan perindustrian menunjukkan pengukuhan yang konsisten walaupun banyak kaunter terus diniagakan di bawah paras tertinggi sebulan.

"Arah aliran ini mencadangkan sentimen yang lebih baik terutamanya bagi saham yang sensitif terhadap perdagangan.

"Selain itu, kami memerhatikan putaran sektoral yang muncul daripada nama berkaitan dengan pengguna ke arah saham berorientasikan eksport yang mungkin menerajui pasaran dalam jangka masa terdekat," katanya kepada Bernama.

Mengenai sentimen pasaran yang positif susulan pertemuan di antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Pegawai AS di Washington, beliau berkata perkembangan ini hadir pada masa yang tepat.

Selain itu, katanya sentimen pasaran positif susulan potensi ketegangan perdagangan AS-China yang mereda.

"Saham berorientasikan eksport (komponen berkaitan indeks) mula meningkat selepas tengah hari menyumbang kepada pergerakan menaik FBM KLCI yang terus bertambah pada 3.30 petang di tengah-tengah dagangan yang tidak stabil.

"Selain itu, pelabur institusi asing secara amnya meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran Malaysia semasa sesi dagangan petang, seiring dengan paras mudah tunai yang lebih tinggi yang diperhatikan pada penghujung sesi dagangan.

"Kami berharap hari ini akan menyaksikan pembelian bersih oleh pelabur asing," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran menyusut sedikit daripada kenaikan sebelumnya berikutan pengambilan untung dalam saham-saham wajaran tinggi seperti tenaga dan perbankan, tetapi masih berjaya ditutup di kawasan positif.

"Indeks utama serantau meningkat berikutan keyakinan baharu mengenai potensi ketegangan perdagangan AS-China yang mereda dengan sentimen semakin dipertingkatkan oleh unjuran penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang lebih awal daripada jangkaan," katanya.

Thong bersikap positif mengenai kesan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang mereda kerana ini dijangka mengurangkan turun naik pasaran selain mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran tempatan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB bertambah 1.0 sen kepada RM6.99, Maybank merosot 8.0 sen kepada RM9.87, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing turun 1.0 sen kepada RM4.36 dan RM6.87 manakala Tenaga Nasional kehilangan 4.0 sen kepada RM13.56.

Bagi saham aktif, Richtech meningkat 3.0 sen kepada 27.5 sen, Nationgate bertambah 12 sen kepada RM1.30, My E.G. Services naik 1.0 sen kepada 90.5 sen, Tanco menokok setengah sen kepada 22.5 sen dan Bina Puri kehilangan 11 sen kepada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 65.30 mata kepada 11,219.84, Indeks FBMT 100 berkembang 53.77 mata kepada 10,989.92, Indeks FBM Emas Shariah menokok 94.94 mata kepada 11,084.26, Indeks FBM 70 melambung 213.92 mata kepada 15,791.10 dan Indeks FBM ACE bertambah 20.07 mata kepada 4,623.57.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 4.73 mata kepada 17,991.19 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 2.82 mata kepada 148.73, Indeks Tenaga meningkat 8.84 mata kepada 674.68 dan Indeks Perladangan bertambah 31.56 mata kepada 7,224.92.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.43 bilion unit bernilai RM1.70 bilion daripada 1.50 bilion unit bernilai RM1.92 bilion, semalam.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.29 bilion unit bernilai RM128.76 juta daripada 1.23 bilion unit bernilai RM120.59 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 378.54 juta unit bernilai RM120.71 juta daripada 353.04 juta unit bernilai RM107.88 juta pada Khamis.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 188.91 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (206.10 juta), pembinaan (142.32 juta), teknologi (254.67 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (112.94 juta), hartanah (205.17 juta), perladangan (21.87 juta), REITs (12.36 juta), dana tertutup (11,400), tenaga (121.05 juta), penjagaan kesihatan (44.55 juta), telekomunikasi dan media (23.48 juta), pengangkutan dan logistik (54.45 juta), utiliti (40.90 juta) serta amanah perniagaan (tiada).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan