Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) bagi Bursa Malaysia Derivatives berakhir lebih rendah hari ini, diasak oleh jangkaan peningkatan pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang dan harga minyak kacang soya yang lebih lemah, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata paras sokongan bagi MSM berada pada RM3,850 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,080 satu tan.
Mengulangi sentimen sama, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata pasaran menyaksikan pengambilan untung susulan kenaikan ketara pada minggu lepas.
Ini, katanya, ditambah dengan kerugian minyak sayuran berkaitan, sentimen berhati-hati menjelang anggaran bekalan dan permintaan April serta peningkatan pengeluaran yang menjejaskan niaga hadapan MSM.
Aktiviti pengambilan untung turut dilaporkan dalam niaga hadapan minyak sayuran China, khususnya di Bursa Komoditi Dalian dan Bursa Komoditi Zhengzhou yang hanya meningkatkan lagi sentimen penurunan ini.
Sewaktu ditutup, kontrak Mei 2025 susut RM99 kepada RM4,040 satu tan; Jun 2025 turun RM95 kepada RM3,989 satu tan; Julai 2025 berkurangan RM92 kepada RM3,965 satu tan dan Ogos 2025 turun sebanyak RM85 kepada RM3,962 satu tan.
Kontrak September 2025 susut RM83 kepada RM3,956 satu tan dan Oktober 2025 turun RM78 kepada RM3,951 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 51,205 lot daripada 92,662 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka turun kepada 236,253 kontrak daripada 239,137 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan adalah RM4,150 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial