PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA TERUSKAN ALIRAN MENINGKAT MINGGU DEPAN

03/05/2025 11:12 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran meningkatnya minggu depan, disokong oleh landskap ekonomi global yang bertambah baik serta kembalinya semula pembelian asing ke bursa tempatan.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata dengan minat asing kembali semula ke dalam pasaran serta pelabur luar negara bertukar menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia, ia membayangkan kemungkinan aliran masuk yang berterusan. 

"Ekuiti Malaysia terus menonjol atas dasar penilaian sebenar, yang boleh semakin menarik perhatian pelabur global," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, China semalam menunjukkan kesediaannya untuk terlibat semula dalam perbincangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keseluruhan prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada minggu yang baru berakhir ini mengatasi jangkaan awal dengan indeks itu meneruskan kenaikannya untuk ditutup kepada 1,542.49 pada Jumaat.

“Prestasi lebih kukuh daripada jangkaan ini menunjukkan keyakinan tinggi pelabur dan daya tahan pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, data senarai gaji bukan ladang (NFP) bagi April akan menjadi faktor penting dalam menentukan sama ada ekonomi AS menghadapi kelembapan jangka pendek akibat tarif atau penurunan bagi tempoh lebih lama. 

"Pasaran memantau rapat petunjuk ini bagi mencari petunjuk mengenai keadaan ekonomi AS dan potensi implikasi bagi dasar monetari, terutamanya di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan," katanya.

Menurut data NFP, bilangan pekerjaan meningkat sebanyak 177,000 -- lebih daripada 138,000 yang dijangkakan oleh pakar ekonomi -- menunjukkan bahawa pasaran buruh AS kekal berdaya tahan.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, indeks utama meningkat 33.29 mata kepada 1,542.49 daripada 1,509.20 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas naik 269.54 mata kepada 11,489.38, Indeks FBMT 100 meningkat 267.32 mata kepada 11,257.24, Indeks FBM Emas Shariah mengukuh sebanyak 306.09 mata kepada 11,390.35, Indeks FBM 70 melonjak 483.44 mata kepada 16,274.54 dan Indeks FBM ACE menokok 25.63 mata kepada 4,649.20.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 3.56 mata kepada 152.29, Indeks Tenaga berkembang 20.29 mata kepada 694.97, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 249.76 mata kepada 18,240.95, Indeks Perladangan meningkat 58.85 mata kepada 7,283.77 dan Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 73.27 mata kepada 1,942.42.

Jumlah dagangan menyusut kepada 10.96 bilion unit bernilai RM8.26 bilion daripada 14.14 bilion unit bernilai RM9.03 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 5.61 bilion unit bernilai RM7.44 bilion daripada 6.62 bilion unit bernilai RM7.90 bilion. 

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.99 bilion unit bernilai RM399.64 juta daripada 5.77 bilion unit bernilai RM571.23 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.35 bilion unit bernilai RM411.63 juta daripada 1.73 bilion unit bernilai RM547.26 juta sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan