PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DIJANGKA CENDERUNG DALAM ALIRAN MENURUN MINGGU DEPAN

03/05/2025 11:14 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal dalam tekanan minggu depan, sebahagian besarnya disebabkan oleh kebimbangan berterusan terhadap paras stok domestik yang meningkat ketika permintaan melemah dan pengeluaran yang bertambah baik.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata inventori MSM tempatan berkemungkinan meningkat apabila negara memasuki musim puncak penuaian, yang biasanya menyebabkan trend meningkat bermusim dalam pengeluaran.

“Pada masa yang sama, permintaan eksport menunjukkan sedikit tanda untuk meningkat, terutamanya daripada pembeli utama seperti India dan China, kerana mereka dilaporkan mengambil pendekatan berhati-hati berikutan bekalan minyak sayuran global yang tinggi dan persaingan harga daripada minyak lain seperti minyak kacang soya dan bunga matahari.

"Kombinasi faktor ini berkemungkinan memberi tekanan seterusnya kepada harga MSM," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peniaga turut menggunakan pendekatan tunggu dan lihat menjelang data eksport dan pengeluaran akan datang.

“Melainkan terdapat perubahan ketara dalam permintaan atau dasar mengejut daripada negara-negara pengimport utama, sentimen dijangka kekal menurun dalam tempoh terdekat.

"Saya mengunjurkan harga MSM diniagakan dalam julat rendah iaitu antara RM3,750-RM3,900 satu tan minggu depan," tambahnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Mei 2025 susut RM219 kepada RM3,920 satu tan, Jun 2025 turun RM150 kepada RM3,907 satu tan dan Julai 2025 jatuh RM176 kepada RM3,881 satu tan.

Kontrak Ogos 2025 merosot RM164 kepada RM3,883 satu tan, September 2025 menguncup RM151 kepada RM3,888 satu tan dan Oktober 2025 rendah RM138 kepada RM3,891 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 240,534 lot daripada 410,686 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 232,901 kontrak daripada 239,139 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Mei Selatan menurun sebanyak RM180 kepada RM4,020 satu tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan