PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS MENJELANG KEPUTUSAN OPR BNM ESOK

07/05/2025 07:39 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menjelang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan kadar dasar semalaman (OPR) esok, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.2360/2435 berbanding dolar AS daripada 4.2285/2360 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan membincangkan OPR dan membuat keputusan mengenai perkara itu, manakala kalangan ahli ekonomi memberikan pandangan berbeza mengenai kemungkinan hasil mesyuarat.

“Sesetengah (ahli ekonomi) menjangkakan pengurangan 25 mata asas, manakala yang lain berpandangan kadar faedah penanda aras akan kekal tidak berubah pada 3.00 peratus," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata risiko geopolitik sekali lagi menjadi perhatian pelabur, dengan serangan ketenteraan terkini antara India dan Pakistan yang telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya ke atas ekonomi global.

"Selain itu, ringgit terus menyusut berbanding dolar AS selama dua hari berturut-turut selepas dolar AS-ringgit mencecah RM4.20 pada Isnin.

“Ini seiring dengan prestasi mata wang lain, dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.24 peratus kepada 99.478 mata,” katanya.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit menunjukkan sedikit  penurunan menjelang hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS.

“Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan kadar faedah tidak berubah, walaupun kenyataannya mungkin cenderung kepada kadar faedah neutral atau sedikit tinggi.

“Sebaliknya, BNM mungkin mengambil keputusan yang cenderung rendah esok, memandangkan keadaan ekonomi domestik yang lemah. Perbezaan kedua-dua dasar ini akan terus mempengaruhi ringgit,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9556/9613 daripada 2.9502/9556 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding euro kepada 4.8104/8189 daripada 4.7824/7909.

Ringgit juga turun berbanding pound British kepada 5.6479/6579 daripada 5.6302/6402.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik meningkat  berbanding rupiah Indonesia kepada 256.1/256.7 daripada 257.0/257 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2802/2862 daripada 3.2749/2812.

Ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.66 daripada 7.60/7.62 semalam namun, mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding baht Thailand kepada 12.9383/9691 daripada 12.9399/9700.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan