Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) --Saham di Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya tinggi pada Khamis, mendapat rangsangan daripada kenaikan di kaunter sektor teknologi, penjagaan kesihatan dan perbankan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 16.93 mata, atau 1.04 peratus, kepada 1,637.80, daripada paras penutup 1,620.87 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.81 mata kepada 1,621.68, dan bergerak antara paras 1,621.68 dan 1,640.17 sepanjang sesi dagangan.
Di seluruh pasaran, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 854 berbanding 355, manakala 491 kaunter tidak berubah, 873 tidak diniagakan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.27 bilion unit bernilai RM3.92 bilion, daripada 2.47 bilion unit bernilai RM2.48 bilion pada Rabu.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI melonjak tinggi apabila sentimen pasaran terus menunjukkan prestasi yang bertambah baik.
Penanda aras utama serantau juga mencatatkan aliran lebih tinggi, dirangsang oleh kemajuan dalam kaunter teknologi dan penjagaan kesihatan serta mata wang tempatan yang lebih kukuh berbanding dolar AS.
Beliau berkata FBM KLCI mencatatkan prestasi kukuh setakat minggu ini melepasi paras 1,620-1,625 dengan jumlah dagangan yang kukuh, mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan indeks utama untuk mengekalkan trajektori menaiknya.
Menurutnya, dengan penyertaan pasaran yang semakin bertambah baik dan suasana menunjukkan tanda-tanda pemulihan, prospek dijangka kekal positif, katanya.
"Namun begitu, kami tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung dalam tempoh jangka pendek kerana sesetengah pelabur mungkin mahu menyimpan keuntungan.
“Bagaimanapun, aktiviti sedemikian harus dilihat sebagai sebahagian daripada kitaran pasaran yang sihat, terutamanya susulam kenaikan mendadak," kata Thong kepada Bernama.
Beliau menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,620-1,650 menjelang hujung minggu.
Pengarah strategi pelaburan IPPFA Sdn Bhd yang juga pakar ekonomi negara Mohd Sedek Jantan berkata walaupun sentimen positif hari ini, mereka tetap mengekalkan pendirian berhati-hati.
“Kami masih mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun kami buat masa ini, tetapi kami mungkin menyemaknya semula pada November, dengan mengambil kira tiga peristiwa penting - pembentangan Belanjawan 2026 minggu depan, dua baki mesyuarat Rizab Persekutuan AS sebelum akhir tahun, dan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia pada November,” katanya.
Perkembangan ini, katanya penting dalam membentuk hala tuju pasaran dan sentimen menjelang suku terakhir tahun ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik 32 sen kepada RM8.26, Tenaga melonjak 36 sen kepada RM13.46 dan 99 Speed Mart Retail menokok tujuh sen kepada RM2.88. AMMB melantun 13 sen kepada RM5.85, dan YTL Power International menokok sembilan sen kepada RM4.31.
Dalam kalangan kaunter aktif , VS Industry dan Borneo Oil kedua-duanya tidak berubah, masing-masing pada 60 sen dan setengah sen, manakala Camaroe yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE hari ini meningkat satu sen kepada 15 sen.
Pharmaniaga turun setengah sen kepada 28 sen, Tanco susut satu sen kepada 90 sen, dan CBH Engineering meningkat enam sen kepada 53 sen.
Kaunter paling untung termasuk Malaysian Pacific Industries, yang melonjak RM2.84 kepada RM31.74 manakala Sam Engineering & Equipment naik 37 sen kepada RM4.28 dan Allianz menambah 34 sen kepada RM18.74.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 134.93 mata kepada 12,190.70, Indeks FBMT 100 naik 131.20 mata kepada 11,920.74, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 143.63 mata kepada 12,222.03.
Indeks FBM 70 melonjak 222.60 mata kepada 17,071.48, dan Indeks FBM ACE menambah 117.53 mata kepada 5,320.81.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.69 mata kepada 174.19, Indeks Tenaga menokok 4.81 mata kepada 783.16, dan Indeks Perladangan menambah 15.44 mata kepada 7,803.55. Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 169.05 mata kepada 18,578.82.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.35 bilion unit bernilai RM3.49 bilion, daripada 1.65 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.18 bilion unit bernilai RM167.26 juta daripada 288.42 juta unit bernilai RM27.59 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 738.33 juta saham bernilai RM259.22 juta, daripada 531.81 juta saham bernilai RM184.26 juta.
Di Pasaran Utama, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 332.04 juta saham yang didagangkan, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (544.96 juta), pembinaan (137.83 juta), teknologi (490.48 juta), perkhidmatan kewangan (90.96 juta), hartanah (186.15 juta), perladangan (28.26 juta), REIT (17.98 juta), dana tertutup (55,900), tenaga (129.00 juta), penjagaan kesihatan (217.59 juta), telekomunikasi dan media (61.14 juta), pengangkutan dan logistik (52.90 juta), utiliti (63.90 juta), dan amanah perniagaan (66, 6600).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial