Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah ketika tengah hari pada Rabu, sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang lemah berikutan aktiviti pengambilan untung, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.63 mata kepada 1,624.40 daripada 1,630.03 ketika ditutup semalam.
Indeks utama pasaran dibuka 1.88 mata lebih rendah kepada 1,628.15, dan mencapai paras terendah pada 1,621.17 ketika sesi awal.
Pasaran keseluruhannya negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 593 berbanding 358, manakala 444 kaunter tidak berubah, 1,189 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 2.29 bilion unit bernilai RM1.34 bilion.
Indeks Straits Times Singapura susut 0.50 peratus kepada 4,449.74, Nikkei Jepun turun 0.09 peratus kepada 27,906.65, dan Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 1.07 peratus kepada 26,669.99, manakala Kospi Korea Selatan meningkat 2.70 peratus kepada 3,549.21.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penurunan FBM KLCI adalah disebabkan aktiviti pengambilan untung, terutama oleh dana asing, dalam dua hari lepas.
“Kami percaya bursa tempatan masih disokong dengan baik, dan melihat penurunan baru-baru ini sebagai tempoh penyesuaian sementara untuk pasaran. Oleh itu, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,625 hingga 1,635 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM9.97, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.33, CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing turun empat sen kepada RM7.63 dan RM8.15, dan Tenaga Nasional menguncup lapan sen kepada RM13.20.
Bagi saham aktif antaranya KNM Group, Zetrix AI dan Pharmaniaga masing-masing kekal pada setengah sen, 84 sen dan 28.5 sen, Tanco turun 1.5 sen kepada 84.5 sen, manakala Land & General dan Pharmaniaga masing-masing naik setengah sen kepada 16 sen.
Antara saham paling untung Kuala Lumpur Kepong dan PPB yang masing-masing melonjak 22 sen kepada RM20.52 dan RM10.90; Sunway Construction meningkat 16 sen kepada RM6.05; Hong Leong naik 12 sen kepada RM20.50; dan LPI Capital bertambah 10 sen kepada RM14.50.
Antara saham paling rugi, Nestle merosot 64 sen kepada RM97.02; Petronas Dagangan dan Malaysian Pacific Industries masing-masing 12 sen kepada RM22.78 dan RM31.36; Unisem turun 11 sen kepada RM3.45; dan Fraser and Neave kurang 10 sen kepada RM28.18.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 326.09 mata kepada 12,091.23 dan Indeks FBM 100 turun 37.77 mata kepada 11,822.08, manakala Indeks FBM Emas Syariah menguncup 33.54 mata kepada 12,099.80.
Indeks FBM 70 susut 40.12 mata kepada 16,925.48, manakala Indeks FBM ACE turun 22.05 mata kepada 5,289.36.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.18 mata kepada 173.41 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 78.10 mata kepada 18,493.85, manakala Indeks Tenaga naik 5.26 mata kepada 785.83 dan Indeks Perladangan naik 34.55 mata kepada 7,828.40.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial