PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN PENURUNAN SEIRING PRESTASI PASARAN SERANTAU

08/10/2025 07:08 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk ditutup rendah sedikit pada Rabu, mencerminkan pasaran serantau yang lemah berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap kemungkinan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berpanjangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.53 mata atau 0.16 peratus kepada 1,627.50, daripada 1,630.03 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penunjuk pasaran dibuka rendah, turun 1.88 mata kepada 1,628.15 dan mencecah paras terendahnya pada 1,621.17 ketika awal sesi dagangan.

Pasaran secara meluas ditutup dalam keadaan negatif dengan 623 kaunter rugi mengatasi 463 kaunter untung, manakala 475 kaunter tidak berubah, 1,023 kaunter tidak diniagakan dan lapan kaunter digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.66 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 3.48 bilion unit bernilai RM2.99 bilion pada Selasa.

Mengulas prestasi bursa hari ini, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran kini berubah menjadi defensif di tengah-rengah kebimbangan yang semakin meningkat bahawa kebuntuan fiskal di Washington mungkin berlarutan melebihi tempoh sebulan.

Beliau berkata corak dagangan dalam kalangan konstituen FBM KLCI kelihatan lebih jelas berbanding awal minggu ini dengan saham-saham pengguna disokong oleh minat belian semula susulan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang telah meningkatkan kapasiti perbelanjaan isi rumah.

“Bagaimanapun, nada pasaran secara meluasnya kekal berhati-hati apabila para pelabur menilai potensi risiko limpahan daripada penutupan kerajaan AS yang berpanjangan, kerana ini boleh menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi AS dan memberi kesan rantaian kepada ekonomi yang bergantung kepada perdagangan,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM10, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.34 dan CIMB Group turun 10 sen kepada RM7.66. Tenaga Nasional rendah merosot sen kepada RM13.20 dan IHH Healthcare turun sembilan sen kepada RM8.10.

Bagi saham paling aktif, KNM Group dan Borneo Oil masing-masing tidak berubah kepada setengah sen, manakala VS Industry kekal pada 55.5 sen. Zetrix AI susut setengah sen kepada 83.5 sen dan Tanco turun satu sen kepada 85 sen.

Dalam kalangan saham paling untung, Nestle melonjak RM1.64 kepada RM99.30, Hi Mobility meningkat 32 sen kepada RM2.72. PPB dan Kuala Lumpur Kepong masing-masing menokok 30 sen kepada RM10.98 dan RM20.60, manakala Sunway Construction naik 26 sen kepada RM6.15.

Saham yang paling mencatatkan kerugian ialah Malaysian Pacific Industries yang susut 66 sen kepada RM30.82, Hong Leong Industries turun 22 sen kepada RM14.02, dan KSL berkurangan 16 sen kepada RM2.80. Unisem kehilangan 14 sen kepada RM3.42, manakala Mesiniaga menyusut 10 sen kepada RM1.27.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 12.72 mata kepada 12,114.60, Indeks FBM 100 turun 13.95 mata kepada 11,845.90, manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 12.79 mata kepada 12,120.55.

Indeks FBM 70 berkurangan 0.59 mata kepada 16,965.01, manakala Indeks FBM ACE menyusut 42.38 mata kepada 5,269.03.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.07 mata kepada 173.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 43.62 mata kepada 18,528.33, manakala Indeks Tenaga meningkat 11.46 mata kepada 792.03 dan Indeks Perladangan menambah 36.63 mata kepada 7,830.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.74 bilion unit bernilai RM2.34 bilion daripada 2.37 bilion unit bernilai RM2.63 bilion pada Selasa.

Bagi jumlah dagangan waran pula, ia meningkat kepada 1.51 bilion unit bernilai RM206.67 juta daripada 410.23 juta unit bernilai RM39.22 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 411.47 juta saham bernilai RM167.37 juta daripada 703.19 juta saham bernilai RM316.30 juta sebelumnya.

Di Pasaran Utama, kaunter produk pengguna dan perkhidmatan merekodkan 239.50 juta saham diniagakan, diikuti produk perindustrian dan perkhidmatan (321.32 juta), pembinaan (128.81 juta), teknologi (222.74 juta), perkhidmatan kewangan (45.56 juta), hartanah (238.98 juta), perladangan (39.28 juta), REIT (26.74 juta), dana tertutup (77,000), tenaga (268.01 juta), penjagaan kesihatan (99.54 juta), telekomunikasi dan media (45.38 juta), pengangkutan dan logistik (35.85 juta), utiliti (26.30 juta), dan amanah perniagaan (928,100).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan