PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH RENDAH DIDORONG KETEGANGAN PERDAGANGAN AS-CHINA

13/10/2025 07:09 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia merosot hari ini berikutan sentimen pasaran global terjejas oleh kebimbangan baharu mengenai ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, kata peniaga.

Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh harga minyak yang pulih dalam situasi ringgit rendah berbanding dolar AS dan data ekonomi China yang menggalakkan terutamanya jualan kereta.

Katanya Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan pelan untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 100 peratus ke atas semua import China berikutan langkah negara itu mengehadkan eksport mineral pentingnya.

“Trump turut merancang untuk mengenakan kawalan eksport baharu ke atas perisian buatan AS yang tertentu dan dianggap kritikal kepada keselamatan negara,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, menurut Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), jualan kereta di China meningkat pada September sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun kepada 2.27 juta unit.

“Peniaga dan pengguna mengambil peluang daripada subsidi tukar beli sebelum lebih banyak kerajaan tempatan menggantung insentif,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot 7.5 sen kepada 732 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 1.5 sen kepada 572.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan