Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives pulih daripada penurunan dua hari berturut-turut dengan ditutup kebanyakannya tinggi pada Rabu.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata langkah Indonesia yang sedang mempertimbang untuk menaikkan cukai eksport memberi kelebihan daya saing kepada MSM Malaysia, sekali gus menyokong sentimen pasaran.
“Sehubungan itu, kami mengesan paras sokongan melepasi RM4,400 satu tan dan paras rintangan pada RM4,580 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan, penurunan import minyak sawit India memberi tekanan kepada niaga hadapan minyak sawit Malaysia, namun, pada masa yang sama ia menyokong niaga hadapan minyak soya di Amerika Syarikat.
Ia menyatakan import minyak sawit India pada September merosot ke paras terendah sejak Mei, berikutan pihak penapis minyak di negara itu beralih kepada minyak soya yang lebih murah, dengan penghantaran meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun.
“Import minyak sawit India turun 16.3 peratus kepada 829,017 tan pada September, iaitu jumlah bulanan terendah sejak Mei,” menurut laporan tersebut.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Oktober 2025 susut RM30 kepada RM4,320 satu tan, November 2025 naik RM22 kepada RM4,429 satu tan, manakala Disember 2025 dan Januari 2026 masing-masing meningkat RM16 kepada RM4,477 dan RM4,512 satu tan.
Kontrak Februari dan Mac 2026 masing-masing menokok RM13 kepada RM4,515 dan RM4,500 satu tan.
Jumlah dagangan menurun kepada 117,165 lot berbanding 119,170 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 281,788 kontrak daripada 278,862 kontrak sebelumnya.
Di pasaran fizikal, harga MSM bagi Oktober Selatan menokok RM10 kepada RM4,430 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial