PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR AS SUSULAN HARGA MINYAK KUKUH

23/10/2025 07:10 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disokong harga minyak mentah yang lebih kukuh susulan kebimbangan mengenai bekalan selepas  AS dan Kesatuan Eropah kenakan sekatan ke atas pengeluar minyak utama Rusia.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.2250/2285 berbanding dolar AS daripada 4.2280/2325 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berikutan Malaysia merupakan pengeksport bersih minyak dan gas, keadaan ini memberi kelebihan kepada ringgit yang diniagakan pada paras lebih baik hari ini.

“Harga minyak mentah Brent naik kepada US$64.73 setiap tong susulan sekatan yang membangkitkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan.

“Sementara itu, pasangan dolar AS-ringgit dicatatkan pada RM4.23 semasa sesi pagi sebelum mengukuh sekitar RM4.22 pada lewat hari dagangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah mata wang serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur kerana para peniaga mencerna perkembangan terkini termasuk ketidaktentuan yang disebabkan oleh penutupan kerajaan AS waktu ini yang mengehadkan akses kepada data penting menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 28-29 Oktober.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8976/9017 daripada 4.9019/9072 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.7687/7712 daripada 2.7849/7880 ketika ditutup pada Rabu.

Sementara itu, ia melemah berbanding pound Britain kepada 5.6395/6442 daripada 5.6309/6368.

Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2513/2542 daripada 3.2556/2593 berkembang berbanding peso Filipina kepada 7.21/7.22 daripada 7.23/7.25 dan bertambah baik berbanding rupiah Indonesia kepada 254.0/254.4 daripada 254.9/255.3 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia sedikit menurun berbanding baht Thai kepada 12.8772/8937 daripada 12.8573/8769.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan