Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives diunjur dalam mod penyatuan minggu depan dengan penganalisis menjangkakan indeks penanda aras akan mengukuh dalam persekitaran asas domestik yang stabil.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan terus menunjukkan daya tahan apabila indeks penanda aras dalam mod penyatuan.
“FBM KLCI nampaknya semakin stabil, walaupun pemangkin lebih kukuh diperlukan untuk memulihkan minat belian. Mengekalkan paras di atas 1,600 adalah penting untuk mengekalkan trend menaik semasa, manakala paras di atas 1,630 mungkin memberi petunjuk permulaan fasa trend menaik yang baharu.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak antara 1,600 dan 1,630 minggu depan, mewakili tahap sokongan dan rintangannya,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI dijangka kekal stabil minggu depan, diniagakan dalam jajaran kecil sekitar paras 1,605 kerana pelabur menunggu pemangkin baharu.
“Walaupun penurunan buat seketika di bawah paras 1,600 perlu diberi perhatian, sebarang kelemahan mungkin didorong oleh faktor luaran dan bukannya asas domestik.
"Sekiranya ini berlaku, kami melihatnya sebagai peluang berpotensi untuk aktiviti belian semasa harga rendah, disokong oleh latar belakang makroekonomi Malaysia berdaya tahan dan petunjuk hadapan yang semakin baik," katanya.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 4.12 mata kepada 1,609.15 daripada 1,613.27 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 47.64 mata kepada 12,023.36, Indeks FBMT 100 susut 42.42 mata kepada 11,761.17, Indeks FBM ACE berkurangan 71.27 mata kepada 5,221.39, Indeks FBM 70 menguncup 114.91 mata kepada 17,056.07 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 48.58 mata kepada 12,098.11.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.30 mata kepada 171.61, Indeks Tenaga susut 20.08 mata kepada 771.24, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 81.37 mata kepada 18,123.26/
Bagaimanapun, Indeks Perladangan meningkat 77.80 mata kepada 7,987.09.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 13.59 bilion unit bernilai RM10.70 bilion daripada 13.53 bilion unit bernilai RM9.98 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 7.56 bilion unit bernilai RM9.55 bilion daripada 6.91 bilion unit bernilai RM8.65 bilion sebelum itu.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 4.38 bilion unit bernilai RM459.48 juta daripada 3.81 bilion unit bernilai RM562.09 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.64 bilion unit bernilai RM672.11 juta daripada 1.89 bilion unit bernilai RM755.22 juta seminggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial