Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Ringgit meningkat semula untuk ditutup tinggi pada Selasa berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan ketidakpastian mengenai langkah dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS yang seterusnya memberi kesan kepada dolar AS.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1950/1985 berbanding dolar AS daripada 4.1980/2025 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Pembuatan ISM AS yang menyusut kepada 48.7 mata pada Oktober daripada 49.1 pada September, memberikan gambaran mengenai ekonomi AS.
“Indeks berkenaan kekal di bawah paras penanda 50 mata sejak Mac tahun ini, dan ini menunjukkan tarif AS telah menyebabkan kos input yang lebih tinggi sekali gus menyebabkan sentimen lemah dalam kalangan pengeluar,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata pandangan dalam kalangan ahli Fed masih berbeza mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah pada Disember memandangkan ada yang berpendapat kadar faedah perlu dikekalkan bagi mengekang risiko inflasi yang lebih tinggi.
"Setakat ini, ringgit telah mencatat naik turun dalam julat semasa, dengan paras RM4.2000 (berbanding dolar AS) dilihat sebagai halangan psikologi.
Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia yang akan datang boleh memberikan sedikit dorongan kepada ringgit memandangkan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal stabil pada 2.75 peratus.
"Penurunan kadar faedah AS yang selanjutnya akan mengecilkan jurang antara kadar dana Fed dan OPR, yang mungkin memberikan impak positif kepada ringgit," katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sebahagian besar mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4795/4841 daripada 5.5099/5158 semasa ditutup pada Isnin, dan meningkat berbanding euro kepada 4.8238/8279 daripada 4.8344/8396. Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut berbanding yen kepada 2.7331/7355 daripada 2.7230/7261 sebelum ini.
Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2131/2160 daripada 3.2206/2243 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8859/9026 daripada 12.9285/9483 dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 251.0/251.4 daripada 251.7/252.1 semalam.
Unit tempatan menyusut berbanding peso Filipina kepada 7.16/7.18 daripada 7.14/7.15 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial