KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Dagangan Bursa Malaysia rendah setakat tengah hari ini susulan penyusutan pasaran serantau apabila pelabur meneruskan aktiviti pengambilan untung dalam saham-saham wajaran tinggi, didahului kaunter kewangan serta produk dan perkhidmatan pengguna.
Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.75 mata atau 0.42 peratus kepada 1,616.75 daripada paras penutup 1,623.50, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.26 mata kepada 1,622.24 yang juga paras tertinggi bagi sesi itu sebelum susut kemudiannya mencecah paras terendah intra harian pada 1,614.30.
Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 803 berbanding 299 manakala 496 lain tidak berubah, sebanyak 1,044 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 3.27 bilion unit bernilai RM1.35 bilion.
Prestasi bursa hanya menjejaki pasaran serantau lainnya dengan Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.28 peratus kepada 25,878.80, Indeks KOSPI Korea Selatan susut 3.25 peratus kepada 3,987.84, Nikkei 225 Jepun merosot 3.06 peratus kepada 49,922.87 manakala Indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.56 peratus kepada 4,397.95.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata pasaran menyaksikan dagangan tidak menentu pada masa ini ketika pelabur bertindak meneliti kerugian dialami susulan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang masuk minggu keenam.
“Ini menyanggah pandangan Rizab Persekutuan AS terhadap potensi pengurangan kadar faedah pada Disember selain permulaan musim pelaporan pendapatan tempatan,” katanya dalam satu penyelidikannya hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Hong Leong Bank turun 30 sen kepada RM20.94, CIMB Group rugi enam sen kepada RM7.49, 99 Speed Mart Retail berkurangan tujuh sen kepada RM3.03, Tenaga Nasional merosot 10 sen kepada RM13.20, Maybank susut satu sen kepada RM9.94 manakala Public Bank naik dua sen kepada RM4.28.
Bagi saham paling aktif, NexG Bina turun setengah sen kepada empat sen, MMAG susut 3.5 sen kepada 10.5 sen manakala Borneo Oil kekal tidak berubah pada setengah sen, NexG berkurangan 1.5 sen kepada 26.5 sen manakala Tanco naik dua sen kepada 87 sen.
Kaunter paling untung didahului oleh Westports yang naik 31 sen kepada RM5.41, VSTECS menokok 16 sen kepada RM3.96, Hong Leong Industries menambah 14 sen kepada RM14.26, Chin Teck Plantations meningkat lapan sen kepada RM10.50 manakala KLCC Properties dan REIT meraih tujuh sen kepada RM8.78.
Saham dengan kerugian ketara setakat tengah hari ini adalah Nestle yang turun RM1.10 kepada RM111.90, PJ Bumi menguncup 53 sen kepada RM1.24, Malaysian Pacific Industries susut 44 sen kepada RM30.12 dan Sunway Construction rugi 13 sen kepada RM5.67.
Di papan indeks pula, Indeks FBMT 100 merosot 40.73 mata kepada 11,770.32 manakala Indeks FBM Emas kehilangan 41.85 mata kepada 12,012.31.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan sebanyak 42.82 mata kepada 12,012.61, Indeks FBM ACE turun 14.33 mata kepada 5,061.76 manakala Indeks FBM Mid 70 susut 21.62 mata kepada 16,868.38.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 0.12 mata kepada 8,024.92, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 68.72 mata kepada 18,382.70, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.31 mata kepada 168.60 manakala Indeks Tenaga susut 5.61 mata kepada 761.14.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial