PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN KLCI DINIAGAKAN DALAM JAJARAN KECIL MINGGU DEPAN

08/11/2025 10:34 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, disokong oleh asas ekonomi domestik yang berdaya tahan dan jangkaan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang stabil.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata tumpuan pelabur kini beralih kepada pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga yang dijadualkan pada Jumaat.

“Data ini akan menjadi petunjuk penting dalam menentukan sama ada indeks petunjuk pasaran akan terus stabil atau mengukuh lagi berikutan pelabur menyesuaikan kedudukan mereka menjelang akhir tahun,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, sentimen pasaran kekal lemah berikutan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang telah memasuki hari ke-38 pada Jumaat, merupakan yang terpanjang dalam sejarah negara itu.

Pada asas mingguan, kontrak November 2025 dan Disember 2025, masing-masing meningkat 14.0 mata kepada 1,624.50 dan 1,624.0, Mac 2026 naik 16.0 mata kepada 1,606.0 manakala Jun 2026 dicatatkan pada 1,609.50.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 35,662 lot daripada 173,673 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 48,367 kontrak daripada 49,777 kontrak sebelum ini.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 9.98 mata kepada 1,619.13 daripada 1,609.15 minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan