PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DINIAGAKAN BERHATI-HATI MINGGU DEPAN MENJELANG DATA IHP CHINA, KDNK SUKU KETIGA MALAYSIA DIUMUMKAN

08/11/2025 10:13 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan pelabur mengambil pendekatan berwaspada tetapi membina dalam menghadapi perkembangan peringkat domestik dan luaran.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata minggu depan bermula dengan data Indeks Harga Pengguna (IHP) China pada Oktober dikeluarkan pada Ahad, dijangka mengekalkan tekanan deflasi secara berterusan.

“Ini boleh meningkatkan kebimbangan mengenai permintaan serantau yang lembap dan memberi tekanan kepada pengeksport Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan rantaian bekalan China.

“Sehubungan itu, sentimen jangka pendek terhadap sektor elektrik dan elektronik, komoditi dan sektor berkaitan pembuatan dijangka kekal berhati-hati berdasarkan China yang merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pada peringkat domestik, katanya tumpuan pelabur beralih kepada pengumuman mengenai data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga pada Jumaat, yang akan menjadi petunjuk utama dalam menentukan hala tuju pasaran.

“Anggaran awal yang dikeluarkan bulan lepas menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2 peratus, mengatasi peningkatan sebanyak 4.4 peratus yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.

“Jika angka akhir itu memenuhi atau melebihi jangkaan, ia akan mengekalkan momentum pertumbuhan Malaysia yang berdaya tahan, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang stabil, pemulihan dalam sektor pelancongan yang berterusan dan pengukuhan dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 9.98 mata kepada 1,619.13 daripada 1,609.15 minggu lepas.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas naik 10.71 mata kepada 12,034.07, Indeks FBMT 100 meningkat 32.31 mata kepada 11,793.48 manakala Indeks FBM ACE merosot 170.66 mata kepada 5,050.73, Indeks FBM 70 jatuh 129.23 mata kepada 16,926.84 dan Indeks FBM Emas Shariah menurun 49.78 mata kepada 12,048.33.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 3.21 mata kepada 168.40, Indeks Tenaga merosot 4.78 mata kepada 766.46 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 213.98 mata kepada 18,337.24 dan Indeks Perladangan melonjak 115.99 mata kepada 8,103.08.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 15.84 bilion unit bernilai RM10.21 bilion daripada 13.59 bilion unit bernilai RM10.70 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 6.99 bilion unit bernilai RM8.42 bilion daripada 7.56 bilion unit bernilai RM9.55 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 6.54 bilion unit bernilai RM1.18 bilion daripada 4.38 bilion unit bernilai RM459.48 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.31 bilion unit bernilai RM606.44 juta daripada 1.64 bilion unit bernilai RM672.11 juta minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan