Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum kenaikannya untuk hari kedua berturut-turut, didorong oleh pengukuhan ringgit, optimisme baharu dalam beberapa sektor terpilih dan jangkaan yang semakin meningkat penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan diselesaikan tidak lama lagi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.45 mata atau 0.46 peratus kepada 1,634.83 daripada 1,627.38 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.14 mata kepada 1,631.52, dan bergerak di antara 1,630.77 dan 1,642.90 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, keseluruhan pasaran mencatatkan sedikit prestasi negatif dengan 560 kaunter rugi mengatasi 537 kaunter untung, manakala 588 kaunter tidak berubah, 989 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan merosot kepada 3.53 bilion unit bernilai RM2.85 bilion berbanding 4.0 bilion unit bernilai RM2.29 bilion pada Isnin.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata selepas berbulan-bulan menunjukkan prestasi yang lembap, pasaran ekuiti tempatan nampaknya sedang memasuki fasa pemulihan menjelang penghujung tahun.
Sepanjang sepuluh bulan yang lalu, indeks kebanyakannya kekal dalam wilayah negatif, terjejas oleh cabaran luaran yang berterusan.
“Jika momentum positif ini berterusan, disokong oleh ringgit yang kukuh, kebimbangan global tentang gelembung pasaran AI yang semakin reda dan sentimen yang bertambah baik selepas penutupan kerajaan AS dijangka dapat diselesaikan, FBM KLCI berpeluang menutup tahun ini dalam wilayah positif,” katanya kepada Bernama.
Senada dengan Mohd Sedek, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran terus meningkat, disokong oleh pembelian berterusan susulan sentimen yang positif di seluruh rantau ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.91, manakala Public Bank naik tiga sen kepada RM4.30, CIMB menokok tujuh sen kepada RM7.65, Tenaga Nasional bertambah empat sen kepada RM13.38 dan IHH Healthcare melonjak lapan sen kepada RM8.30.
Bagi saham paling aktif, MMAG dan TWL masing-masing susut setengah sen kepada 9.0 sen dan 2.5 sen. Zetrix AI dan Pharmaniaga kekal tidak berubah pada 85.5 sen dan 26 sen, manakala IOI Corporation meningkat tiga sen kepada RM4.10.
Antara kaunter paling untung, Fraser & Neave naik RM1.44 kepada RM30.20, United Plantations meningkat 42 sen kepada RM25.80, PJBumi melonjak 36 sen kepada RM1.58, manakala Malaysian Pacific Industries menokok 30 sen kepada RM31.40.
Dalam kalangan saham paling rugi, UMS Integration merosot 24 sen kepada RM4.52, Westports susut 15 sen kepada RM5.30, manakala Sunway Construction dan MISC masing-masing berkurangan 13 sen kepada RM5.53 dan RM7.74.
Di papan indeks, FBMT 100 menokok 29.74 mata kepada 11,872.36, FBM Emas meningkat 29.72 mata kepada 12,114.31, manakala FBM Emas Shariah naik 21.41 mata kepada 12,132.83.
Indeks FBM ACE susut 25.13 mata kepada 5,075.72 manakala Indeks FBM Mid 70 kehilangan 63.99 mata kepada 16,885.73.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan bertambah 56.08 mata kepada 8,176.40, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 31.66 mata kepada 18,443.89, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.60 mata kepada 168.28, dan Indeks Tenaga merosot 1.36 mata kepada 759.34.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.55 bilion unit bernilai RM2.49 bilion daripada 1.29 bilion unit bernilai RM1.77 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.42 bilion unit bernilai RM213.42 juta daripada 1.88 bilion unit bernilai RM347.0 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 550.85 juta unit bernilai RM149.32 juta berbanding 821.51 juta unit bernilai RM172.37 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 229.34 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (254.46 juta), pembinaan (119.87 juta), teknologi (284.61 juta), perkhidmatan kewangan (62.01 juta), hartanah (171.31 juta), perladangan (98.34 juta), REIT (32.09 juta), dana tertutup (12,100), tenaga (103.10 juta), penjagaan kesihatan (78.96 juta), telekomunikasi dan media (56.17 juta), pengangkutan dan logistik (35.14 juta), utiliti (30.48 juta) dan amanah perniagaan (sifar).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial