Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Ringgit meneruskan kenaikan apabila ditutup lebih tinggi untuk hari keenam berturut-turut hari ini, didorong oleh keyakinan yang meningkat semula mengenai kemungkinan untuk Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah.
Pada 6 petang, ringgit meningkat sebanyak 0.52 peratus kepada 4.1360/1395 berbanding dolar AS daripada 4.1555/1635 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan itu meneruskan momentum meningkat berikutan pelabur kembali bersikap positif mengenai jangkaan bahawa penutupan sementara kerajaan AS dapat diselesaikan tidak lama lagi.
“Ahli kongres AS dijangka mencapai persetujuan mengenai kebuntuan fiskal sekali gus memudahkan untuk menyambung semula penerbitan data statistik yang akan memberi gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar menjelang mesyuarat Fed pada Disember,” katanya kepada Bernama.
Secara keseluruhan, Mohd Afzanizam berkata Fed dijangka berada di landasan untuk menurunkan kadar faedah, dan langkah ini akan mengecilkan jurang antara Kadar Dana Fed dan kadar dasar semalaman (OPR).
“Berdasarkan purata jangka panjang kadar pertukaran dolar AS-ringgit antara Julai 2005 hingga hari ini, angka purata itu adalah sekitar RM3.81. Ini bermakna terdapat potensi pengukuhan bagi ringgit pada masa akan datang,” katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen kepada 2.6798/6822 daripada 2.6954/7008, meningkat berbanding euro kepada 4.7829/7869 daripada 4.8071/8163, dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4297/4343 daripada 5.4736/4842 semasa ditutup semalam.
Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1752/1784 daripada 3.1899/1963, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 247.7/248.0 daripada 249.4/250.1, naik berbanding peso Filipina kepada 7.01/7.02 daripada 7.05/7.06, dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.7595/7762 daripada 12.8367/8670 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial