PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DITUTUP TINGGI SUSULAN KEMBIMBANGAN LEBIHAN BEKALAN

21/11/2025 05:57 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Jumaat, didorong oleh kebimbangan berterusan mengenai bekalan getah akibat cuaca hujan di pengeluar getah utama dalam persekitaran petunjuk bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau memberitahu Bernama bahawa sentimen pasaran juga meningkat oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif dan permintaan kukuh untuk tayar buatan getah daripada pasaran automotif China.

“Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya dihadkan oleh ringgit lebih kukuh berbanding dolar AS dan penurunan harga minyak mentah penanda aras memandangkan ketidakpastian mengenai bila akan berlaku penurunan kadar faedah AS.

Memetik Agensi Meteorologi Thailand, peniaga menyatakan bahawa agensi itu memberi amaran mengenai hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan dari 20 hingga 22 November 2025.

Sementara itu, mengenai pasaran serantau, beliau berkata bahawa niaga hadapan getah Jepun meningkat sedikit padaJumaat, dijangka meraih keuntungan mingguan ketiga berturut-turut selepas mencapai paras tertinggi sejak awal April, susulan amaran hujan lebat Thailand mencetuskan kebimbangan bekalan.

“Juga dilaporkan bahawa permintaan domestik kukuh dan eksport automotif di China telah meningkatkan permintaan untuk tayar buatan getah, manakala bekalan getah semasa mungkin mengecil, meningkatkan harga bahan mentah,” katanya.

Peniaga itu berkata ekonomi AS mewujudkan lebih banyak pekerjaan daripada diunjurkan sebelum ini pada September, bagaimanapun, kadar pengangguran meningkat secara tidak dijangka, meningkatkan lagi ketidakpastian menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember depan.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia berkata harga Getah Mutu Malaysia (GMM 20) meningkat 4.5 sen kepada 730.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik sebanyak 1.5 sen kepada 577 sekilogram.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan