Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka menunjukkan prestasi bercampur-campur di tengah-tengah kebimbangan berterusan mengenai bekalan getah asli (NR) berikutan hujan lebat di wilayah pengeluar utama, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Menurut MARGMA, hujan lebat dan banjir di negara-negara pengeluar getah di seluruh Asia Tenggara terus menjejaskan aktiviti penorehan, sekali gus mengehadkan bekalan getah asli.
Katanya, harga getah juga akan dipengaruhi oleh pergerakan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan turun naik harga minyak mentah penanda aras.
“Sektor perkilangan Asia mengalami kemerosotan pada November.
“Pesanan tidak pulih dengan ketara walaupun terdapat perkembangan dalam rundingan perdagangan di AS, menandakan permintaan global yang berterusan lembap,” kata MARGMA kepada Bernama.
Sementara itu, seorang pedagang turut mengulangi pandangan MARGMA bahawa pasaran getah berkemungkinan besar akan terjejas dengan pergerakan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau minggu depan.
Beliau berkata Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli menjangkakan pengeluaran NR global meningkat secara sederhana sebanyak 1.3 peratus pada 2025 kepada 14.89 juta tan, manakala permintaan NR diunjurkan meningkat sebanyak 0.8 peratus tahun ini kepada 15.57 juta tan, iaitu lebih tinggi daripada pengeluaran.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot sebanyak 10.5 sen kepada 715.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurang 2.5 sen kepada 575.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial