Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Dagangan di Bursa Malaysia dijangka bergantung kepada data ekonomi minggu depan memandangkan pasaran bersedia menyesuaikan pegangan, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (Fed) (FOMC) pada 9 hingga 10 Disember.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata walaupun pasaran menjangka 87 peratus kebarangkalian bagi pengurangan kadar faedah Fed sebanyak 25 mata asas namun, perhatian beralih kepada peningkatan ketidaktentuan berkaitan hala tuju dasar Fed pada awal 2026.
“Ketidaktentuan ini berpunca daripada percanggahan ketara antara anggota FOMC yang cenderung kepada kadar faedah tinggi dengan kalangan yang memihak kadar feadah rendah dalam jawatankuasa itu, sekali gus menjadi perbezaan yang kini membawa implikasi penting terhadap jangkaan pasaran," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bagaimanapun, sentimen keseluruhan dijangka kekal sensitif terhadap pemangkin luaran termasuk data makro Amerika Syarikat dan sebarang perubahan dasar Fed bagi tempoh akan datang.
"Secara keseluruhannya, unjuran bagi minggu depan menunjukkan persekitaran yang lebih taktikal dan dipacu oleh peralihan modal atau pelaburan mengikut sektor di Bursa Malaysia.
"Berdasarkan isyarat dasar global dan dinamik mata wang yang terus mempengaruhi tingkah laku pelabur, peserta pasaran mungkin kekal bersikap memilih di samping mengekalkan kecenderungan kepada sektor yang menawarkan kekuatan defensif, asas disokong mata wang atau momentum keuntungan yang lebih kukuh menjelang hujung tahun," katanya.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 12.05 mata kepada 1,616.52 daripada 1,604.47 mata minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 46.26 mata kepada 11,962.23, Indeks FBMT 100 naik 42.85 mata kepada 11,743.82 tetapi Indeks FBM Emas Shariah merosot 53.85 mata kepada 11,797.05, Indeks FBM ACE berkurangan 8.48 mata kepada 4,816.14 dan Indeks FBM 70 turun 133.47 mata kepada 16,722.61.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 435.38 mata kepada 19,011.33, Indeks Perladangan naik 24.13 mata kepada 8,096.25, Indeks Tenaga bertambah 10.76 mata kepada 758.54 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.75 mata kepada 165.78.
Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 18.86 bilion unit bernilai RM13.40 bilion daripada 22.37 bilion unit bernilai RM17.23 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 7.01 bilion unit bernilai RM11.41 bilion daripada 8.55 bilion unit bernilai RM14.56 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran susut kepada 10.05 bilion unit bernilai RM1.37 bilion daripada 11.74 bilion unit bernilai RM1.99 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.78 bilion unit bernilai RM602.06 juta daripada 2.07 bilion unit bernilai RM675.40 juta minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial