PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN KLCI DIJANGKA BERGERAK DALAM ALIRAN MENINGKAT MINGGU DEPAN

06/12/2025 10:29 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meneruskan aliran meningkat minggu depan, seiring prestasi pasaran tunai.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat antara 1,600 dan 1,630 minggu depan sementara pelabur menunggu pemangkin baharu sama ada dari dalam atau luar negara untuk memberikan hala tuju yang lebih jelas.

“Dengan sokongan kukuh pada paras 1,600 dan ketiadaan pemacu pasaran yang ketara ketika ini, kami menjangka FBM KLCI bergerak dalam lingkungan 1,600 hingga 1,630.

“Pergerakan dalam julat terhad ini juga membolehkan pasaran terus mengukuh, membentuk asas yang lebih stabil sebelum berlakunya momentum kenaikan seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peningkatan berterusan melepasi 1,630, disertai penyertaan pasaran yang bertambah baik, akan menandakan pemulihan momentum ke arah paras 1,650.

Berbanding Khamis lepas, kontrak Disember 2025 dan Jun 2026 masing-masing susut 3.5 mata kepada 1,620 dan 1,610, manakala kontrak baharu Januari 2026 berada pada 1,624, dan Mac 2026 turun 2.0 mata kepada 1,606.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 39,562 lot berbanding 184,536 lot pada Khamis lepas, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 43,890 kontrak daripada 75,903 kontrak sebelumnya.

Sementara itu, bagi perbandingan Khamis ke Jumaat bagi pasaran tunai, FBM KLCI meningkat 12.05 mata kepada 1,616.52 berbanding 1,604.47 minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan