PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI SEIRING PRESTASI SERANTAU, WALL STREET

09/12/2025 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan lebih rendah hari ini, seiring sentimen serantau yang suram selain kelemahan Wall Street.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.76 mata atau 0.17 peratus kepada 1,610.02 berbanding penutupan semalam pada 1,612.78.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 6.36 mata pada 1,619.14 dan bergerak dalam julat 1,606.57 hingga 1,620.73 sepanjang sesi dagangan pagi.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 512 berbanding 321 dengan 533 kaunter tidak berubah, 1,381 tidak didagangkan dan 11 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.91 bilion saham bernilai RM1.11 bilion.

Di pasaran serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.84 peratus kepada 25,549.94, Indeks Kospi Korea Selatan menguncup 0.36 peratus kepada 4,139.95, Indeks Komposit IDX Indonesia turun 0.44 peratus kepada 8,672.75 manakala Indeks Komposit SSE China merosot 0.13 peratus kepada 3,918.83.

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata Wall Street yang ditutup negatif semalam dan impaknya ke atas pasaran tempatan dijangka lebih jelas selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan keputusan kadar faedah pada Khamis ini.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka AS (FOMC) akan mengadakan mesyuarat dasar monetarinya pada hari ini dan esok.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank menokok dua sen kepada RM10.14, CIMB Group turun tujuh sen kepada RM7.83 dan Public Bank rugi satu sen kepada RM4.36 manakala IHH Healthcare naik empat sen kepada RM8.55 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM12.70.

Bagi saham paling aktif, Velesto Energy menokok setengah mata kepada 25.5 sen, Orkim yang baru disenaraikan di Pasaran Utama naik setengah sen kepada 92.5 sen, Tanco rugi empat sen kepada RM1.14, Ingenieur Gudang menambah setengah sen kepada tiga sen dan Zetrix AI rugi setengah sen kepada 79.5 sen.

Kaunter paling untung merangkumi Allianz Malaysia yang naik 30 sen kepada RM19.90, United Plantations meraih 24 sen kepada RM28.96, Fraser & Neave menokok 24 sen kepada RM35.00, FCW Holdings menambah 20 sen kepada RM2.00 dan Petronas Gas untung 18 sen kepada RM17.20.

Sebaliknya, kaunter dengan kerugian ketara adalah Malaysian Pacific Industries yang susut 24 sen kepada RM31.86, Dutch Lady Milk Industries turun 20 sen kepada RM31.30, Chin Teck Plantations berkurangan 20 sen kepada RM10.80, Gamuda kehilangan 12 sen kepada RM5.08 dan Petronas Dagangan rugi 12 sen kepada RM19.16.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 22.34 mata kepada 11,903.13, Indeks FBM Emas Shariah susut 28.00 mata kepada 11,756.87, Indeks FBMT 100 turun 20.48 mata kepada 11,690.71, Indeks FBM ACE merosot 22.27 mata kepada 4,761.36 dan Indeks FBM 70 kehilangan 31.28 mata kepada 16,620.75.

Bagi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 15.83 mata kepada 18,917.43, Indeks Tenaga susut 0.70 mata kepada 752.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kehilangan 0.41 mata kepada 165.40 manakala Indeks Perladangan menokok 39.20 mata kepada 8,068.41.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan