PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA PULIH SEMULA UNTUK DITUTUP TINGGI MENJELANG KEPUTUSAN FED AS

09/12/2025 07:11 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia yang bergerak dalam aliran rendah sepanjang hari, pulih semula untuk ditutup tinggi, disokong pembelian pada saat akhir ketika para pelabur dalam keadaan berwaspada namun optimis menjelang pengumuman keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) esok.

Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.39 mata, atau 0.09 peratus, kepada 1,614.17 berbanding paras 1,612.78 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 6.36 mata lebih tinggi pada 1,619.14 dan mencecah paras tertinggi 1,620.73 pada awal dagangan sebelum susut ke paras terendah harian 1,606.57 pada sesi pertengahan pagi. Ia kembali mengukuh pada lewat petang sehingga penutup dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 560 berbanding 371, manakala 537 kaunter tidak berubah, 1,279 tidak diniagakan dan 11 digantung.

Jumlah dagangan mengecil kepada 2.66 bilion unit bernilai RM2.09 bilion berbanding 3.32 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada Isnin.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dagangan FBM KLCI ditutup stabil berikutan aktiviti belian pada saat akhir ketika pelabur berhati-hati menjelang mesyuarat FOMC.

“Dengan hampir 90 peratus kemungkinan penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) telah pun diambil kira dalam harga pasaran, para pelabur kini cenderung mengehadkan pendedahan risiko sambil menunggu panduan dasar yang lebih jelas serta unjuran terbaharu mengenai hala tuju kadar faedah bagi 2026," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata prestasi sektor bercampur-campur, manakala dalam kalangan komponen FBM KLCI, sektor perbankan mencatatkan pemulihan sederhana susulan aktiviti pengumpulan secara terpilih menjelang persekitaran kadar faedah yang dijangka lebih stabil.

“Indeks dijangka terus bergerak dalam jajaran kecil minggu ini, dengan hala tuju dipacu kenyataan Fed dan unjuran seterusnya.

“Isyarat yang cenderung menurunkan kadar faedah boleh menyokong sentimen dan mengangkat kaunter kewangan yang bermodal besar, berkapitalisasi besar, utiliti dan kaunter berkaitan komoditi.

"Sebaliknya, jika isyarat  yang diberikan kurang jelas atau cenderung menaikkan kadar faedah, ia boleh meningkatkan turun naik dan mengehadkan potensi kenaikan dalam masa terdekat. Secara keseluruhannya, pasaran dijangka kekal dalam mod berhati-hati sementara menunggu dasar monetari yang lebih jelas,” katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.10, CIMB Group turun lima sen kepada RM7.85, manakala Public Bank, IHH Healthcare dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM4.37, RM8.51 dan RM12.70.

Bagi kaunter aktif, Velesto Energy, BMS Holdings dan Zetrix AI masing-masing menambah setengah sen kepada 25.5 sen, 18 sen dan 80.5 sen, manakala Orkim, yang baharu disenaraikan di Pasaran Utama naik satu sen kepada 93 sen dan Tanco Holdings turun empat sen kepada RM1.14.

Kaunter untung utama termasuk Fraser & Neave melonjak 44 sen kepada RM35.20, FCW Holdings naik 20 sen kepada RM2.00, Petronas Gas menambah 18 sen kepada RM17.20, United Plantations meningkat 12 sen kepada RM28.84 dan Allianz Malaysia mengukuh 12 sen kepada RM19.72.

Antara kaunter rugi utama, Dutch Lady merosot RM1.50 kepada RM30.00, Nestle turun 80 sen kepada RM111.70, Malaysian Pacific Industries susut 22 sen kepada RM31.88, Chin Teck Plantations turun 20 sen kepada RM10.80 dan Sarawak Oil Palms berkurang 10 sen kepada RM3.84.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.73 mata kepada 11,933.20, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 9.80 mata kepada 11,794.67, Indeks FBMT 100 menambah 9.79 mata kepada 11,720.98, manakala Indeks FBM 70 meningkat 12.46 mata kepada 16,664.50. Indeks FBM ACE pula susut 29.34 mata kepada 4,754.29.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 52.37 mata kepada 8,081.58, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.67 mata kepada 166.48, sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 3.08 mata kepada 18,930.18, manakala Indeks Tenaga merosot 1.30 mata kepada 751.93.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 1.14 bilion unit bernilai RM1.85 bilion berbanding 1.16 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran turut menurun kepada 1.21 bilion unit bernilai RM141.42 juta daripada 1.72 bilion unit bernilai RM218.31 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 299.51 juta unit bernilai RM96.30 juta, berbanding 437.41 juta unit bernilai RM130.50 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 187.52 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (193.92 juta); pembinaan (76.11 juta); teknologi (133.02 juta); perkhidmatan kewangan (39.97 juta); hartanah (128.40 juta); perladangan (24.95 juta); amanah pelaburan hartanah (19.71 juta); dana tertutup (1,500); tenaga (174.24 juta); penjagaan kesihatan (42.01 juta); telekomunikasi dan media (16.94 juta); pengangkutan dan logistik (81.86 juta); utiliti (30.16 juta); dan amanah perniagaan (497,600).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan