Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan, bergerak antara RM4.09 dan RM4.11 berbanding dolar AS selepas mengukuh sebanyak 0.39 peratus minggu ke minggu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beberapa siri data utama Amerika Syarikat (AS) yang akan diumumkan minggu depan bakal memberikan panduan baharu kepada peserta pasaran.
Data ini termasuk pembayaran gaji bukan ladang (NFP), Indeks Harga Pengguna (IHP), Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) dan Indeks Sentimen Pengguna (ISP) University of Michigan.
“Ini turut disusuli dengan beberapa siri ucapan oleh pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS, yang dijangka menyatakan kebimbangan mengenai risiko inflasi memandangkan ia masih berlegar melepasi paras dua peratus,” katanya kepada Bernama.
Awal minggu ini, ringgit berada pada paras sekitar RM4.11 pada Isnin dan mula menyusut pada Rabu menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), sebelum kembali meningkat selepas Fed menurunkan kadar faedah, yang membawa ringgit ke paras 4.1040 pada Khamis.
Ringgit meningkat lebih kukuh pada akhir minggu ini, mencecah paras 4.09 pada Jumaat -- merekodkan paras tertinggi baharu dalam tempoh empat tahun tujuh bulan, disokong oleh data ekonomi Malaysia yang positif.
Bagi asas mingguan, ringgit mengukuh berbanding dolar AS, ditutup lebih tinggi kepada 4.0945/1005 daripada 4.1105/1140 minggu lepas.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen kepada 2.6264/6304 daripada 2.6536/6561, dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4789/4869 daripada 5.4859/4905 tetapi menyusut berbanding euro kepada 4.8037/8107 daripada 4.7912/7953 semasa ditutup minggu lepas.
Ringgit juga kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 245.9/246.4 daripada 246.8/247.2 minggu lepas, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1701/1750 daripada 3.1741/1773 sebelumnya, dan lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.93/6.94 daripada 6.97/6.98.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9589/9845 daripada 12.9054/9221 minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial