PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA HAMPIRI PARAS TERTINGGI LIMA TAHUN PADA 4.07 BERBANDING DOLAR AS

18/12/2025 09:38 AM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Ringgit dibuka mengukuh pada paras 4.07 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, paras tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun walaupun dolar AS meningkat ketika penggiat pasaran terus meneliti hala tuju dasar bank pusat negara maju itu.

Setakat jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0795/0915 berbanding dolar AS daripada 4.0855/0940 pada akhir urus niaga semalam.

Kali terakhir paras itu dicatatkan adalah pada 3 Mac 2021 iaitu 4.0720 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) telah meningkat 0.25 peratus kepada 98.389 mata berikutan ulasan terkini pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) bahawa mereka tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah.

 Beliau berkata Gabenor Fed Christopher Waller membuat kenyataan bahawa kadar dasar semasa kekal 50 hingga 100 mata asas di atas kadar neutral dan bank pusat AS itu masih mempunyai ruang untuk menurunkan lagi kadar berkenaan.

Waller juga berkata tidak timbul sebarang keperluan mendesak untuk melaraskan dasar itu dengan segera berikutan pasaran tenaga kerja yang lemah secara berperingkat.

“Semalam, ringgit ditutup 0.10 peratus lebih rendah berbanding dolar AS. Oleh itu, menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat 4.08 hingga 4.09 berbanding dolar AS hari ini,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Dalam pada itu, pada sesi awal hari ini, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.4555/4716 daripada 5.4439/4553 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.7897/8038 daripada 4.7866/7965.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6236/6315 daripada 2.6267/6321 semalam.

Berbanding mata wang negara rantau ASEAN yang lain, ringgit sebaliknya mengukuh.

Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1592/1688 daripada 3.1614/1682, naik berbanding baht Thailand kepada 12.9467/9930 daripada 12.9657/9989, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 244.3/245.2 daripada 244.7/245.3 dan bertambah baik berbanding peso Filipina kepada 6.95/6.97 daripada 6.96/6.97 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan