PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH SEIRING PRESTASI SEMALAMAN WALL STREET

18/12/2025 10:23 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan urus niaga Khamis dengan lebih rendah, menjejaki kelemahan semalaman yang dicatatkan oleh pasaran Wall Street.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.53 mata atau 0.15 peratus kepada 1,638.91 daripada paras 1,641.44 pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.21 mata pada 1,640.23.

Pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 185 berbanding 140, sebanyak 260 tidak berubah, 2,191 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 137.70 juta saham bernilai RM72.42 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup kebanyakannya rendah apabila peniaga terus mengalihkan pelaburan daripada saham berkaitan kecerdasan buatan (AI), susulan laporan bahawa pelabur utama Oracle menarik diri daripada projek pusat data bernilai US$10 bilion (US$1 = RM4.08).

Menurutnya, walaupun Oracle telah menafikan perkara itu, tekanan jualan itu turut menular kepada saham teknologi utama lain.

“Di peringkat tempatan, kami percaya FBM KLCI Bursa Malaysia akan terus mengatasi jangkaan pada hari-hari akhir menjelang 2026. Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,640 hingga 1,650 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM10.32, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM4.41 dan RM8.59, CIMB turun tiga sen kepada RM7.89 dan Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.22.

Saham paling aktif diterajui TWL dan BMS yang kekal pada 2.5 sen dan 20 sen, Top Glove menambah 2.5 sen kepada 67.5 sen, Hartalega naik tiga sen kepada RM1.04 manakala VS Industry menokok setengah sen kepada 48.5 sen.

Selain itu, kaunter saham paling untung menyaksikan Petronas Gas melonjak 10 sen kepada RM17.86, Westports meraih tujuh sen kepada RM5.68, Hong Leong Industries naik enam sen kepada RM15.96, Press Metal Aluminium dan Itmax System masing-masing menokok lima sen kepada RM6.94 dan RM4.75.

Sebaliknya, kaunter dengan kerugian ketara adalah Dutch Lady Milk yang susut 66 sen kepada RM30.04, Petronas Dagangan turun 12 sen kepada RM19.22, Nestle susut 10 sen kepada RM113.70, Sunway Construction berkurangan lapan sen kepada RM5.72 dan UWC kehilangan tujuh sen kepada RM4.19.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 12.95 mata kepada 12,067.47, Indeks FBMT 100 menguncup 14.70 mata kepada 11,859.42, Indeks FBM ACE merosot 27.94 mata kepada 4,743.55, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 13.12 mata kepada 11,908.02 dan Indeks FBM 70 susut 4.67 mata kepada 16,678.93.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga susut 2.98 mata kepada 766.39, Indeks Perladangan menguncup 33.04 mata kepada 8,137.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.47 mata kepada 19,173.75 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.22 mata kepada 169.60.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan