PASARAN > BERITA

RINGGIT MATA WANG BERPRESTASI TERBAIK ASIA 2025, DIUNJUR TERUS MENGUKUH TAHUN DEPAN

22/12/2025 10:32 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) – Tahun 2025 menyaksikan ringgit menambat kedudukan sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia berbanding mata wang serantau lain dengan pengukuhan unit tempatan itu dipacu oleh asas ekonomi serta angka eksport yang memberangsangkan.

Pada masa sama, langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah utama, juga hanya menyuntik sokongan terhadap ringgit.

Ketika terus mencatat peningkatan hampir 9.0 peratus berbanding dolar AS, mata wang Malaysia itu juga kekal bertahan dalam prospek positif apabila kini diniagakan sekitar 4.07 berbanding dolar AS.

Pencapaian itu jelas memaparkan pemulihan mantap ringgit daripada paras 4.80 yang dicatatkan pada Mac 2024 dan paras terendahnya sejak Januari 1998 ketika krisis kewangan Asia pada 1998.

Apa yang menarik, pengukuhan ketara ringgit itu mampu diraih walaupun dalam persekitaran ketidaktentuan global susulan tindakan AS mengenakan tarif ke atas rakan dagangnya, termasuk Malaysia.

Tidak hanya setakat prestasi dengan dolar AS, momentum ringgit juga kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang lain iaitu masing-masing menokok 2.9 peratus berbanding pound Britain setakat tahun ini, 13.5 peratus berbanding rupiah Indonesia, 10.5 peratus berbanding peso Filipina, 8.5 peratus berbanding yen Jepun, 3.8 peratus berbanding dolar Singapura dan 0.3 peratus berbanding baht Thailand, namun susut 2.8 peratus berbanding euro.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi pengukuhan ringgit pada 2025 itu sememangnya memberangsangkan, apalagi dalam realiti ketidaktentuan global yang meningkat.

Selain itu, penganalisis juga menyifatkan sentimen lebih berhati-hati pada Ogos lepas apabila AS memperkenalkan tarif sepihaknya, namun asakan risiko penurunan itu dapat diredakan selepas kadar tarif timbas balas ke atas Malaysia diturunkan kepada 19 peratus daripada 25 atau 24 peratus pada awalnya, sekali gus dapat meminimumkan kesan limpahannya kerana masih boleh diurus dari segi ekonomi.

Penolong Pengarah dan Ahli Ekonomi Moody’s Analytics Denise Cheok berkata ringgit muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini dan mengatasi kebanyakan mata wang serantau yang lain.

Jurang kadar faedah lebih kecil dengan dolar AS, kelemahan mata wang negara maju itu serta peningkatan prospek pertumbuhan dan keadaan harga yang stabil, telah melonjakkan ringgit mencecah paras paling kukuhnya dalam tempoh hampir lima tahun pada 4.07 berbanding dolar AS.

Menyelami pergerakannya, ringgit mengukuh kepada 4.0765 pada 17 Dis, 2025, berbanding dolar AS daripada 4.0835 pada penutupan hari sebelumnya – paras tertinggi sejak 3 Mac 2021 apabila ditutup pada 4.0720.

Sebaliknya, paras paling lemah ringgit tahun ini dicatat pada 6 Januari lepas apabila merosot ke paras 4.5113 susulan pengukuhan dolar AS, pertumbuhan eksport yang lemah serta sentimen pasaran yang negatif.

Bank Negara Malaysia (BNM) pula secara konsisten sedia mengurus pergerakan ringgit yang berlebihan serta langkah berterusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa pulang pendapatan yang hanya memberikan lagi sokongan untuk ringgit.

Tindakan GLC dan GLIC yang digalakkan menukar pendapatan dalam mata wang asing kepada ringgit pada Mac tahun lepas ketika ringgit mencecah paras 4.80, sememangnya menjadi penampan serta sokongan yang amat diperlukan oleh ringgit.

Tidak hanya berdasarkan prestasi semasa, prospek bagi ringgit juga kekal cerah yang hanya memaparkan sentimen optimis dan keyakinan pelabur secara meluas dalam trajektori ekonomi Malaysia.

Sentimen itu berdasarkan jangkaan AS akan terus mengurangkan kadar faedahnya, kelemahan dolar AS, pembaharuan struktur seperti rasionalisasi subsidi, pertumbuhan eksport lebih kukuh serta kenaikan harga minyak mentah yang merupakan komoditi eksport utama negara.

Tidak kurang pentingnya adalah pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi barangan utama seperti bahan api, termasuk petrol dan diesel serta makanan seperti ayam yang mencerminkan fiskal berhemat dan peningkatan hasil kerajaan.

Ringgit juga di landasan mengakhiri 2025 dengan kedudukan kukuh selepas mencecah beberapa paras tertinggi menjelang akhir tahun susulan prospek pertumbuhan lebih baik, inflasi yang stabil dan kelemahan dolar AS yang terus menyuntik keyakinan pasaran.

Dalam pada itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama, berbanding negara Asia lain, ringgit terbukti dapat mengekalkan prestasinya pada tahun ini.

Beliau menyifatkan prestasi ringgit sebagai tempoh pemulihan stabil yang menyaksikannya kekal kukuh berbanding mata wang serantau walaupun diasak tekanan luar sebelum ini.

Pemulihan itu pula secara beransur-ansur dan bukan mendadak, sekali gus membuktikan keyakinan pasaran yang ketara secara berperingkat.

Aliran konsisten sedemikian juga ternyata amat ketara dalam persekitaran ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk ketegangan perdagangan dan perubahan jangkaan terhadap dasar monetari AS.

Beliau berkata walaupun kelemahan dolar AS pada separuh kedua tahun ini telah mengurangkan tekanan ke atas mata wang pasaran sedang pesat membangun, Malaysia sebaliknya mendapat momentum dan menonjol selepas penambahbaikan asas domestik yang membolehkannya mengukuh lebih daripada paparan trend global semata-mata.

Pada asas perbandingan setahun penuh, ringgit meningkat hampir sembilan peratus berbanding dolar AS yang meletakkannya dalam kalangan mata wang Asia berprestasi kukuh.

Cheok menyifatkan prestasi kukuh ringgit itu berkaitan dengan kelemahan dolar AS, pengecilan jurang kadar faedah susulan pemotongan kadar oleh Fed, prestasi eksport yang mantap serta aliran masuk pelaburan langsung asing terutama dalam sektor pusat data.

Sehubungan itu, beliau berkata Moody’s Analytics menjangkakan ringgit mengakhiri 2025 pada paras sekitar 4.10 berbanding dolar AS, sebelum susut sedikit kepada kira-kira 4.12 menjelang akhir 2026 dan menegaskan tindak balas dasar oleh bank pusat utama serta keadaan monetari domestik akan kekal menjadi pemacu utama.

Mohd Afzanizam pula mengingatkan, selain faktor luaran, kedudukan fiskal Malaysia yang bertambah baik, turut menyumbang dalam menyokong momentum ringgit, terutama melalui tarikan aliran masuk asing ke dalam sekuriti kerajaan selain bon korporat.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kerajaan Persekutuan berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada RM49.8 bilion atau 3.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding RM58.2 bilion atau 4.1 peratus daripada KDNK bagi tempoh sama tahun lepas, katanya.

Peningkatan itu disokong oleh kutipan hasil lebih kukuh serta pengurangan perbelanjaan subsidi susulan daripada langkah rasionalisasi.

Perkembangan sedemikian dilihat secara positif oleh agensi penarafan kredit, kata Mohd Afzanizam yang merujuk kepada pengesahan semula penarafan kedaulatan Malaysia oleh Fitch Ratings pada tahap BBB+ dengan prospek stabil pada Disember yang disokong oleh pengurangan defisit secara berperingkat serta pembaharuan fiskal institusi.

Pada masa sama, inflasi di Malaysia kekal relatif sederhana dan terkawal pada 2025 dan penganalisis mengunjurkan inflasi keseluruhan berada pada purata 2.0 hingga 2.2 peratus bagi tahun berkenaan yang hanya membantu mengekalkan lagi kestabilan kadar faedah sebenar dan dasar yang fleksibel.

Selain itu, pada mesyuarat dasar monetari terakhir tahun ini yang diadakan pada November, BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus yang menandakan tahun penuh dasar yang stabil apabila bank pusat itu menyeimbangkan pertumbuhan dan inflasi.

Mohd Afzanizam berkata risiko luaran pada 2026 akan terus didominasi oleh perkembangan ekonomi dan dasar monetari AS, malah pertumbuhan lebih kukuh atau mengatasi jangkaan selain penurunan kadar faedah lebih perlahan boleh menjejaskan aliran modal global.

Di peringkat domestik pula, beliau menyifatkan komitmen berterusan terhadap pelaksanaan pembaharuan dan pelaksanaan dasar, khususnya ketika Malaysia makin menghampiri kitaran pilihan raya, pasti menjadi kunci bagi mengekalkan keyakinan pelabur serta sauh dalam menambat kestabilan ringgit untuk tempoh jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan