PASARAN > BERITA

INSTITUSI TEMPATAN TERUSKAN ALIRAN BELIAN UNTUK MINGGU KELIMA

22/12/2025 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan aliran belian mereka untuk minggu kelima berturut-turut dengan aliran masuk bersih berjumlah RM508.6 juta manakala peruncit tempatan mencatatkan aliran keluar bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM145.3 juta.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 19 Dis 2025, pelabur asing di Bursa Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah jualan bersih sebanyak RM363.3 juta.

Sebahagian besar aliran keluar adalah pada Isnin (RM133.8 juta), diikuti Selasa (RM132.8 juta) dan Rabu (RM104.5 juta) manakala pelabur asing menjadi pembeli bersih pada Khamis (RM2.6 juta) dan Jumaat (RM5.1 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih pada minggu lepas ialah perkhidmatan kewangan (RM153.1 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM80.9 juta) dan perladangan (RM35.5 juta) manakala tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah utiliti (RM355.7 juta), pembinaan (RM74.1 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM64.1 juta),” katanya.

Menurut MBSB, purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh: peruncit tempatan meningkat 2.0 peratus, institusi tempatan (4.5 peratus) dan pelabur asing (5.1 peratus).

Di peringkat serantau, berdasarkan lapan pasaran Asia yang dipantau oleh MBSB, pelabur asing kembali menjadi penjual bersih ekuiti, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak US$7.47 bilion selepas belian bersih selama dua minggu berturut-turut, merupakan aliran keluar asing bersih terbesar sejak awal November.

Aliran keluar dari Taiwan dan Korea Selatan mendorong jualan, hanya India, Indonesia dan Thailand yang mencatatkan aliran masuk asing bersih.

India mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi sebanyak US$419.1 juta berikutan jualan bersih selama dua minggu manakala Indonesia merekodkan aliran masuk bersih kedua tertinggi sebanyak US$195.7 juta, meneruskan aliran kepada belian bersih selama 11 minggu berturut-turut.

Pelabur asing juga kembali ke Thailand selepas tempoh jualan bersih yang singkat pada minggu sebelumnya, dengan aliran masuk berjumlah US$40.3 juta manakala Taiwan menyaksikan aliran keluar asing bersih mingguan terbesar sebanyak US$5.49 bilion, terbesar sejak April 2024 berikutan aliran masuk bersih selama tiga minggu berturut-turut.

“Ini diikuti Korea Selatan, yang menyaksikan aliran keluar asing bersih sebanyak US$2.51 bilion selepas belian bersih selama dua minggu. Filipina turut mencatatkan aliran keluar asing bersih sebanyak US$32.7 juta, merupakan jualan bersih untuk minggu keempat berturut-turut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan