Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh aliran meningkat serantau di pasaran niaga hadapan getah, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut meningkat berikutan kebimbangan mengenai pengurangan bahan mentah di negara pengeluar getah asli utama disebabkan cuaca lembap dan data ekonomi China yang positif.
Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh penyusutan harga minyak mentah dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS.
"Niaga hadapan getah Jepun meneruskan kenaikan untuk sesi ke-10 berturut-turut pada Selasa, disokong oleh kelemahan yen dan kebimbangan mengenai potensi gangguan pengeluaran di Thailand," katanya kepada Bernama.
Menurut peniaga itu, agensi meteorologi Thailand telah memberi amaran mengenai ribut petir yang akan berlaku di beberapa kawasan tertentu di kawasan pengeluar getah selatan bermula 6 hingga 9 Januari.
Di peringkat global, harga minyak menyusut memandangkan ketidaktentuan pasaran yang reda selepas peniaga menilai laporan mengenai penahanan Presiden Venezuela oleh Amerika Syarikat (AS), katanya.
Beliau berkata sektor pembuatan AS terus menyusut untuk bulan ke-10 berturut-turut, dengan tekanan berkaitan tarif masih membebankan sektor berkenaan.
“Institut Pengurusan Bekalan (ISM) melaporkan bahawa Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan AS lebih rendah daripada jangkaan pada paras 47.9, menyusut daripada unjuran 48.3, yang menandakan kemungkinan bahawa dolar AS lemah,” katanya.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 4.0 sen kepada 760 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik satu sen kepada 578 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial