PASARAN > BERITA

INDEKS UTAMA BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN PENGAMBILAN UNTUNG

08/01/2026 08:25 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham permodalan besar, apabila para pelabur mengalihkan tumpuan kepada kaunter permodalan kecil di tengah-tengah prestasi lemah pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.26 mata atau 0.43 peratus kepada 1,669.57 daripada paras penutup 1,676.83 pada Rabu.

FBM KLCI dibuka rendah turun 2.61 mata kepada 1,674.22 dan bergerak antara paras 1,666.34 dan 1,674.44 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 579 berbanding 489, manakala 565 kaunter tidak berubah, 1,016 tidak diniagakan dan 12 digantung.

Jumlah dagangan tinggi sedikit naik kepada 2.79 bilion unit bernilai RM2.84 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM2.76 bilion pada Rabu.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata Bursa Malaysia diniagakan rendah sedikit hari ini apabila para pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati susulan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur semalaman, yang mencetuskan ketidakpastian berhubung potensi penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed).

Beliau berkata walaupun data ekonomi utama AS itu belum muktamad, butiran daripada data buruh peringkat kedua belum mencukupi untuk mewajarkan pelonggaran monetari yang agresif, sekali gus mengekang minat risiko global.

“Dalam persekitaran ini, FBM KLCI kekal dalam jajaran kecil, dengan paras sokongan pada 1,655–1,660 dan paras rintangan pada 1,675–1,680. Pasaran tempatan dijangka kekal selektif sehingga adanya hala tuju jelas dalam prospek dasar Fed.

"Pasaran global juga sedang menunggu pengumuman laporan gaji bukan ladang AS pada Jumaat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng melihat pengambilan untung hari ini sebagai penurunan yang sihat, kerana ia membolehkan pasaran mencerna aliran menaik baru-baru ini dan mengukuhkan kenaikannya.

"Pada masa yang sama, para pelabur mengalihkan perhatian mereka kepada saham permodalan kecil dengan asas kukuh yang kekal berada di bawah nilainya, sekali gus mewujudkan peluang perdagangan yang menarik untuk pelabur runcit dalam persekitaran pasaran lebih selektif.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,660-1,680 menjelang hujung minggu ini," katanya. 

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Telekom Malaysia melonjak 12 sen kepada RM7.92, CIMB dan Sunway tidak berubah masing-masing pada RM8.06 dan RM5.58, manakala Maybank dan Public Bank susut empat sen setiap satu masing-masing kepada RM10.64 dan RM4.49.

Dalam kalangan saham paling aktif, Dagang NeXchange meningkat 3.5 sen kepada 36 sen, Tanco naik tiga sen kepada RM1.23, Bina Puri menokok setengah sen kepada 30 sen, UEM Sunrise menambah lima sen kepada 66 sen, Zetrix AI tidak berubah pada 81.5 sen manakala MMAG susut setengah sen kepada tujuh sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, United Plantations melonjak RM1.68 kepada RM33.12, Allianz Malaysia meningkat 80 sen kepada RM21.0, manakala Malaysian Pacific Industries dan Hong Leong Financial Group naik 40 sen masing-masing kepada RM32.40 dan RM19.36.

Dalam kalangan saham paling rugi, Nestle turun RM1 kepada RM121.0, Fraser & Neave susut 38 sen kepada RM35.70, Bintulu Port berkurangan 20 sen kepada RM5.30, Petronas Gas menyusut 18 sen kepada RM18.20 dan Petronas Chemicals merosot 16 sen kepada RM3.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 10.68 mata kepada 12,349.42, Indeks FBM Top 100 turun 15.20 mata kepada 12,136.75 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.29 mata kepada 12,167.04.

Indeks FBM Mid 70 meningkat 146.38 mata kepada 17,319.58 manakala Indeks FBM ACE naik 17.90 mata kepada 4,982.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 34.46 mata kepada 19,739.73, Indeks Tenaga meningkat 0.66 mata kepada 770.31, Indeks Perladangan menokok 39.76 mata kepada 8,437.70, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.56 mata kepada 171.90.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.53 bilion unit bernilai RM2.51 bilion daripada 1.52 bilion unit bernilai RM2.49 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 809.94 juta unit bernilai RM111.36 juta daripada 898.30 juta unit bernilai RM115.32 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 458.51 juta unit bernilai RM216.69 juta daripada 312.54 juta unit bernilai RM154.97 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 192.73 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (236.70 juta), pembinaan (168.05 juta), teknologi (347.08 juta), perkhidmatan kewangan (77.95 juta), hartanah (211.74 juta), perladangan (27.12 juta), amanah pelaburan hartanah (17.85 juta), dana tertutup (17,500), tenaga (73.17 juta), penjagaan kesihatan (54.34 juta), telekomunikasi dan media (29.64 juta), pengangkutan dan logistik (39.07 juta), utiliti (49.67 juta), dan amanah perniagaan (44,400).

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan