PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM LEBIH TINGGI SUSULAN KHABAR ANGIN INDONESIA MUNGKIN NAIKKAN DUTI EKSPORT

07/01/2026 11:29 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi & Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Rabu susulan khabar angin di pasaran bahawa Indonesia mungkin menaikkan duti eksport bagi membiayai mandat biodiesel B50, kata seorang peniaga. 

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata sentimen pasaran juga didorong oleh harga minyak kacang soya yang lebih tinggi di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT). 

“Kami melihat paras sokongan melebihi RM3,950 setan dan paras rintangan pada RM4,250 setan,” katanya kepada Bernama. 

Ng berkata terdapat khabar angin bahawa Indonesia mungkin menaikkan levi eksport MSM negara itu kepada 15 peratus daripada 10 peratus antara Februari dan Mac 2026 bagi membiayai subsidi biodiesel B50 menjelang pelaksanaan mandat pada 1 Julai 2026. 

“Duti yang lebih tinggi akan menjadikan MSM Malaysia lebih murah, yang diterjemahkan kepada permintaan lebih tinggi terutamanya dari China dan India,” katanya. 

Mengulangi kenyataan Ng, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group Anilkumar Bagani berkata peniaga pasaran sedang memantau dengan teliti laporan bahawa pihak berkuasa Indonesia yang berkaitan akan bermesyuarat menjelang hujung minggu ini bagi menaikkan lebih eksport minyak sawit kira-kira lima peratus, untuk menyokong mandat biodiesel yang lebih tinggi tidak lama lagi. 

“Kenaikan cukai eksport minyak sawit Indonesia, jika ia berlaku, adalah sesuatu yang positif untuk eksport minyak sawit Malaysia, kerana ia akan meningkatkan daya saingnya,” katanya. 

Selain itu, Anilkumar berkata anggaran pengeluaran minyak sawit pada Disember 2025 daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan UOB Kay Hian menunjukkan kadar pengurangan bekalan adalah jauh lebih perlahan berbanding konsensus pasaran umum. 

Beliau berkata, MPOA menganggarkan pengeluaran minyak sawit pada Disember 2025 Malaysia susut 4.64 peratus manakala UOB Kay Hian menganggarkan ia merosot 2.0 peratus kepada 6.0 peratus, berbanding konsensus pasaran iaitu penurunan 9.0 peratus kepada 9.5 peratus. 

“Oleh itu, prebiu baru-baru ini mencadangkan bekalan minyak sawit Malaysia berakhir pada Disember pada 2.95-3.01 juta tan perlu disemak semula,” katanya. 

Bagi tempoh 1-5 Januari 2026, Anilkumar berkata Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menganggarkan pengeluaran merosot hampir 35 peratus dari tempoh 1-5 Disember 2025, menunjukkan pengeluaran memuncak pada akhir Oktober 2025. 

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2026 meningkat RM32 kepada RM3,960 setan, Februari 2026 menokok RM40 kepada RM4,013 setan, dan Mac 2026 mengukuh RM43 kepada RM4,033 setan.

Kontrak April 2026 menambah RM42 kepada RM4,042 setan, Mei 2026 mengukuh RM41 kepada RM4,042 setan, dan Jun 2026 meningkat RM40 kepada RM4,031 setan. 

Jumlah dagangan menokok kepada 84,068 lot daripada 63,848 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 251,439 kontrak berbanding 257,198 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan meningkat RM20 kepada RM4,000 setan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan