Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila pelabur beralih kepada aset selamat susulan amaran Presiden AS Donald Trump kepada kontraktor pertahanan, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0580/0650 berbanding dolar AS daripada 4.0560/0610 ketika ditutup semalam.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 98.82 apabila pelabur beralih kepada aset selamat selepas Trump memberi amaran bahawa syarikat pertahanan mungkin dilarang daripada membayar dividen dan melaksanakan pembelian balik saham.
Beliau berkata situasi itu mencetuskan penjualan saham syarikat pertahanan AS dan meningkatkan premium risiko ekuiti global.
“Dolar terus disokong oleh data ekonomi AS yang memberikan sedikit asas kepada pasaran untuk menjangkakan satu lagi langkah pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek juga berkata harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh memberikan dorongan asas dari segi terma dagangan kepada Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih.
Ketika laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 0.95 peratus kepada US$60.53 setong.
Beliau berkata bagaimanapun, keadaan itu tidak cukup untuk mengimbangi dominasi aliran penghindaran risiko global dan permintaan mudah tunai dolar AS menjelang penutupan dagangan.
Ketika dagangan ditutup, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5888/5935 daripada 2.5920/5954 ketika ditutup semalam, dan lebih stabil berbanding euro kepada 4.7389/7471 daripada 4.7394/7453.
Mata wang tempatan naik berbanding pound British kepada 5.4535/4630 daripada 5.4732/4799.
Ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 241.5/242.1 daripada 241.7/242.1 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1602/1659 daripada 3.1641/1682.
Unit tempatan lebih kukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8731/9007 daripada 12.9630/9852 namun, susut berbanding peso Filipina kepada 6.85/6.87 daripada 6.83/6.84.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial