Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus ditutup lebih tinggi pada Rabu, didorong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih lemah, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng daripada Iceberg X Sdn Bhd berkata harga MSM turut dipacu oleh permintaan bermusim yang kukuh menjelang Tahun Baharu Cina bulan depan.
“Kami mendapati harga sokongan pada paras RM4,080 satu tan dan paras rintangan pada RM4,200 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata harga niaga hadapan MSM meningkat berikutan perubahan sentimen pasaran, disokong oleh asas positif jangka pendek seperti eksport yang lebih tinggi dan pengeluaran yang lebih rendah.
Beliau berkata kenaikan itu turut didorong oleh minat belian yang berterusan, sekali gus mengangkat kontrak April paling aktif ke paras tertinggi dalam tempoh lapan minggu.
Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2026 meningkat RM46 kepada RM4,112 satu tan, Mac 2026 naik RM58 kepada RM4,142 satu tan, manakala April 2026 menokok RM60 kepada RM4,154 satu tan.
Kontrak Mei 2026 dan Jun 2026 masing-masing bertambah RM59 kepada RM4,155 satu tan dan RM4,149 satu tan, manakala Julai 2026 mengukuh RM54 kepada RM4,138 satu tan.
Jumlah dagangan turut meningkat kepada 67,587 lot berbanding 61,658 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 239,347 kontrak daripada 243,700 sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan naik RM30 kepada RM4,130 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial