PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA CECAH PARAS TERTINGGI BAHARU, INDEKS KOMPOSIT NAIK 1.55 PERATUS

27/01/2026 09:37 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia meneruskan momentum alirannya untuk ditutup mencecah 1,771.25, paras tertinggi intra harian dan dalam tempoh beberapa tahun, dipacu oleh minat belian ketara berterusan dalam saham-saham mewah.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 27.18 mata atau 1.55 peratus daripada paras penutupan Isnin pada 1,744.07.

Paras indeks itu turut melepasi tahap tertinggi sebelum ini iaitu 1,769.16 yang pernah dicapai pada 8 Okt, 2018.

Sewaktu dibuka, indeks penanda aras itu menokok 5.18 mata pada 1,749.25, malah sempat mencecah paras intra harian terendah 1,749.10 pada dagangan awal sebelum melantun secara berterusan sepanjang dagangan sehingga urus niaga ditutup.

Tempias peningkatan itu turut melimpah ke sentimen paras yang positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 701 berbanding 509 manakala 540 kaunter lain tidak berubah, 988 tidak diniagakan dan 66 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.58 bilion unit bernilai RM4.46 bilion berbanding 3.50 bilion unit bernilai RM4.07 bilion, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd memberitahu Bernama, prestasi indeks penanda aras itu memberangsangkan dan kini diniagakan pada paras kali terakhir dicatat pada 2018, disokong oleh belian asing berterusan dan penyertaan meluas dalam kaunter saham mewah.

Pada masa sama, katanya, indeks itu berjaya melepasi zon bertahan dalam tempoh lama iaitu 1,720-1,725, sekali gus memaparkan peningkatan bermakna dan ketara dari segi sentimen pasaran.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI menyaksikan aliran pergerakan dalam julat 1,750-1,780 untuk tempoh berbaki minggu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata susulan kenaikan FBM KLCI melebih lima peratus sejak awal tahun, terdapat kebimbangan mengenai kemampuan momentum ini berterusan secara semula jadi.

Bagaimanapun, tegasnya, asas pasaran kekal konstruktif dan disokong oleh belian terpilih serta bersifat kitaran berbanding pengambilan risiko yang tidak terkawal.

“Dari sudut teknikal misalnya, kemampuan indeks melepasi paras 1,760 hanya mengesahkan lagi keupayaan menembusi rintangan taktikal jangka pendek dengan kekangan struktur seterusnya sekitar 1,780 sebagai paras kritikal yang perlu dipantau,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 26 sen kepada RM11.76, Public Bank naik 13 sen kepada RM5.00, CIMB menokok 33 sen kepada RM8.95, Tenaga Nasional meraih 14 sen kepada RM14.12 dan IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM8.71.

Bagi saham paling aktif, Borneo Oil kekal pada setengah sen, Capital A susut 1.5 sen kepada 57.5 sen, Tanco meningkat dua sen kepada RM1.33, SP Setia naik 2.5 sen kepada 98 sen manakala Zetrix AI meningkat setengah sen kepada 82 sen.

Kaunter paling untung didahului Malaysian Pacific Industries yang melonjak 64 sen kepada RM33.22, Hong Leong Bank menambah 58 sen kepada RM25.08, Hong Leong Financial naik 56 sen kepada RM21.86 dan Malayan Cement meraih 29 sen kepada RM8.04.

Sebaliknya, kaunter paling rugi dibarisi oleh Nestle yang susut 40 sen kepada RM115.60, Kuala Lumpur Kepong turun 20 sen kepada RM19.82, Bintulu Port berkurangan 15 sen kepada RM5.35 manakala Fraser & Neave serta IGB REIT masing-masing turun 14 sen kepada RM36.00 dan RM2.85

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Top 100 melonjak 163.91 mata kepada 12,764.08, Indeks FBM Emas naik 155.55 mata kepada 12,954.70, Indeks FBM Mid 70 meningkat 83.24 mata kepada 17,714.07, Indeks FBM Emas Syariah naik 87.82 mata kepada 12,488.21 manakala Indeks FBM ACE susut 13.13 mata kepada 4,835.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 516.43 mata kepada 21,713.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.65 mata kepada 179.93, Indeks Tenaga meningkat 3.65 mata kepada 768.51 namun Indeks Perladangan menguncup 7.08 mata kepada 8,438.06.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 2.22 bilion unit bernilai RM4.20 bilion daripada 2.06 bilion unit bernilai RM3.76 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran turun kepada 919.73 juta unit bernilai RM112.26 juta berbanding 999.45 juta unit bernilai RM132.75 juta sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 441.14 juta unit bernilai RM145.30 juta berbanding 439.30 juta unit bernilai RM174.57 juta.

Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 432.22 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (477.33 juta), pembinaan (217.36 juta), teknologi (172.02 juta), perkhidmatan kewangan (222.94 juta), hartanah (307.35 juta), perladangan (29.64 juta), amanah pelaburan hartanah (42.78 juta), dana tertutup (19,100), tenaga (100.95 juta), penjagaan kesihatan (96.77 juta), telekomunikasi dan media (56.95 juta), pengangkutan dan logistik (30.15 juta), utiliti (40.96 juta), dan amanah perniagaan (227,800).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan