PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DITUTUP LEBIH TINGGI

29/01/2026 06:19 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh peningkatan aliran dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga. 

Peniaga itu berkata, keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah mengukuhkan sentimen pasaran.

“Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah yang stabil di tengah-tengah apa yang digambarkan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell sebagai ekonomi yang kukuh, sekali gus mengurangkan risiko kepada inflasi dan pekerjaan.

“Tinjauan ini mungkin menandakan penantian yang panjang sebelum sebarang pengurangan selanjutnya dalam kos pinjaman,” katanya kepada Bernama. 

Katanya, peningkatan dalam harga minyak mentah juga menjadi salah satu faktor penyumbang. 

“Harga minyak meningkat lebih 1.5 peratus, meneruskan kenaikan pada hari ketiga, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan AS melancarkan serangan ketenteraan ke atas pengeluar utama di Timur Tengah, iaitu Iran. 

“Ini boleh mengangggu bekalan dari rantau ini,” katanya. 

Ketika ini, harga minyak Brent meningkat 1.45 peratus kepada US$69.39 setong. 

Peningkatan selanjutnya dihadkan oleh reaksi terhadap laporan data terbaharu oleh Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC).

“Laporan terkini daripada negara anggota ANRPC menunjukkan bahawa pengeluaran getah asli global dijangka meningkat secara sederhana sebanyak 1.4 peratus pada 2025.

“Walaupun angka permintaan menunjukkan pelarasan menurun yang kecil sebanyak 0.7 peratus dalam laporan terkini, sentimen pasaran kekal berdaya tahan, disokong oleh isyarat pemulihan dalam industri tayar,” katanya. 

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 14.0 sen kepada 767 sen sekilogram, manakala lateks pukal mengukuh sebanyak 2.5 sen kepada 577.50 sen sekilogram. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan