PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS SELEPAS FED KEKALKAN KADAR FAEDAH

29/01/2026 07:10 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) bertindak mengekalkan kadar faedah utama yang hanya menyuntik sokongan terhadap mata wang negara maju itu.

Setakat jam 6 petang, ringgit susut nilai ke paras 3.9275/9315 berbanding dolar AS daripada 3.9175/9235 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) AS mengekalkan kadar faedah penanda aras itu pada mesyuarat terkininya, juga merupakan penangguhan kenaikan yang pertama sejak Julai 2025.

“Bank pusat AS mengekalkan kadar faedah itu dalam julat 3.50-3.75 peratus atas alasan prospek ekonomi yang berdaya tahan walaupun terdapat jangkaan pentadbiran Presiden Donald Trump lebih cenderung kepada usaha pengurangan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihak Rizab Persekutuan AS juga mengekalkan sentimen optimisnya terhadap ekonomi AS.

“Kenyataan FOMC berkata kegiatan ekonomi negara itu berkembang pada kadar lebih kukuh, sekali gus menandakan kadar faedah itu berkemungkinan bessar tidak akan diturunkan dalam masa terdekat. Ini hanya memberi sokongan lanjut terhadap dolar AS,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata ringgit juga telah mencatat pengukuhan yang agak ketara pada sesi-sesi sebelum ini.

Sehubungan itu, perkembangan hari ini yang merupakan satu pembetulan teknikal yang sederhana adalah sesuatu yang dijangkakan.

“Atas alasan itu, masih wujud ruang untuk pengukuhan seterusnya, terutama jika Trump bertindak mengumumkan pengerusi baharu Fed yang dijangkakan lewat tahun ini dan menjadi isyarat pelonggaran dasar dalam separuh kedua 2026,” katanya.

Pada penutup urus niaga hari ini, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ini termasuk naik berbanding euro kepada 4.6953/7001 daripada 4.6955/7027 semalam, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5616/5644 daripada 2.5652/5692, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.4207/4263 daripada 5.4011/4093.

Prestasi ringgit berbanding negara anggota ASEAN lain menyaksikan mata wang itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1065/1099 daripada 3.1072/1122 pada akhir urus niaga semalam, naik berbanding baht Thailand kepada 12.5930/6119 daripada 12.6135/6389 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.67/6.68.

Ringgit bagaimanapun mengakhiri pengukuhannya berbanding rupiah Indonesia apabila susut ke paras 234.4/234.7 daripada 234.2/234.7, semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan