PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG

29/01/2026 06:58 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penurunannya hari ini susulan aktiviti pengambilan untung dengan kebanyakan sektor ditutup lebih rendah ketika pasaran berada dalam fasa penstabilan, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 25.60 mata, atau 1.46 peratus, kepada 1,730.89 daripada paras penutup 1,756.49 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 3.18 mata kepada 1,753.31, yang merupakan paras tertinggi intra harinya pada hari ini, dan mencecah paras terendah intra harinya pada 1,719.52 semasa sesi dagangan menghampiri sesi tengah hari.  

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 800 berbanding 372, manakala 532 kaunter tidak berubah, 1,015 kaunter tidak diniagakan dan 109 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.06 bilion saham bernilai RM3.95 bilion daripada 3.65 bilion unit bernilai RM4.41 bilion pada Rabu.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penurunan pasaran tempatan bagi sesi kedua berturut-turut mencerminkan pelarasan struktur selepas kenaikan kukuhnya pada awal minggu ini.

Beliau berkata indeks utama yang melonjak ke paras 1,770 pada Selasa mencerminkan kenaikan kukuh 5.42 peratus setakat tahun ini, mendorong aktiviti pengambilan untung selepas ia melepasi paras rintangan teknikal utama sekitar 1,760.

"Apa yang penting, penurunan itu menandakan pengambilan keuntungan yang sihat dan bukannya kerana kehilangan keyakinan pasaran, kerana tekanan jualan tidak didorong oleh pemangkin negatif atau pengurangan pendapatan.

"Justeru, fasa penstabilan ini positif, membantu menyelaraskan semula penilaian nilai saham, menstabilkan suasana pasaran dan mewujudkan asas yang lebih mampan untuk aliran meningkat seterusnya," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau menjangkakan indeks tersebut akan menguji jajaran 1,730-1,740 minggu ini, paras yang dicapai hari ini, dengan FBM KLCI ditutup pada paras 1,730.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare susut 16 sen masing-masing kepada RM11.64 dan RM8.86. Public Bank turun 10 sen kepada RM4.85, CIMB berkurangan 18 sen kepada RM8.47 dan Tenaga Nasional menyusut lapan sen kepada RM14.00.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Capital A dan ISF Group meningkat lima sen masing-masing kepada 63.5 sen dan 53 sen, Zetrix AI susut dua sen kepada 80 sen, dan Tanco Holdings tidak berubah pada RM1.34.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Nestle meningkat 50 sen kepada RM114.00, VSTECS melonjak 21 sen kepada RM4.24, manakala Kerjaya Prospek dan Riverview Rubber Estates meningkat 10 sen masing-masing kepada RM2.75 dan RM3.00.

Dalam kalangan saham paling rugi, Fraser & Neave susut RM1.08 kepada RM34.42, Dutch Lady Milk Industries turun tujuh sen kepada RM33.10, Hong Leong Bank berkurangan 52 sen kepada RM24.32, Petronas Gas susut 34 sen kepada RM18.26, dan Hong Leong Financial turun 30 sen kepada RM21.70.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menyusut 157.34 mata kepada 12,499.84, Indeks FBM Emas turun 150.89 mata kepada 12,691.50, Indeks FBM Mid 70 merosot 95.80 mata kepada 17,467.43, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 118.04 mata kepada 12,278.23, dan Indeks FBM ACE susut 2.98 mata kepada 4,743.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 371.34 mata kepada 21,136.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.87 mata kepada 176.14, Indeks Tenaga berkurangan 4.37 mata kepada 753.06, dan Indeks Perladangan turun 79.80 mata kepada 8,364.98.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.84 bilion unit bernilai RM3.65 bilion daripada 2.04 bilion unit bernilai RM3.96 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 800.64 juta unit bernilai RM115.53 juta daripada 956.75 juta unit bernilai RM137.89 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 419.29 juta unit bernilai RM176.11 juta daripada 653.13 juta unit bernilai RM309.05 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 406.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (254.34 juta), pembinaan (157.38 juta), teknologi (234.95 juta), perkhidmatan kewangan (179.94 juta), hartanah (221.96 juta), perladangan (44.38 juta), amanah pelaburan hartanah (25.16 juta), dana tertutup (371,700), tenaga (103.91 juta), penjagaan kesihatan (89.09 juta), telekomunikasi dan media (37.88 juta), pengangkutan dan logistik (42.55 juta), utiliti (41.91 juta), dan amanah perniagaan (109,200).

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan