PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS MENERUSKAN KENAIKAN BERIKUTAN PERMINTAAN

29/01/2026 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, sejajar dengan keuntungan yang dicatatkan dalam niaga hadapan emas Comex AS apabila pelabur terus beralih kepada aset selamat.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata selepas melepasi paras US$5,500 dalam dagangan awal Asia, emas tidak lagi bergerak seperti komoditi biasa.

“Sebaliknya, ia bertindak sebagai isyarat jelas, yang mana pelabur memilih untuk meletakkan wang mereka, dalam sesuatu yang biasa, dipercayai dan diiktiraf secara meluas sebagai penyimpan nilai,” katanya dalam ulasan pasaran hari ini.

Innes berkata walaupun emas masih belum mencapai US$6,000, jangkaan untuk aliran menaik yang berterusan jelas sedang terbina.

"Apabila harga bergerak melepasi US$5,500, fasa seterusnya bukan lagi mengenai dagangan jangka pendek. Ia seterusnya mencerminkan keyakinan jangka panjang dalam peranan emas sebagai lindung nilai dan penstabil.

"Pada peringkat ini, harga mula bergerak mendahului ramalan. Penganalisis mula mengemas kini sasaran mereka, pertama ke arah US$6,000 dan mungkin US$6,500, seiring dengan penilaian semula pasaran selepas melihat pengukuhan dalam permintaan emas," katanya.

Pada penutupan, kontrak bulan semerta Januari 2026 meningkat kepada US$5,516.50 setiap auns troy daripada US$5,295.40 setiap auns troy, Februari 2026 menokok kepada US$5,533.90 setiap auns troy daripada US$5,311.70 setiap auns troy dan Mac 2025,5 adalah lebih tinggi pada US$5,552.20 setiap auns troy daripada US$5,330.00 setiap auns troy yang disaksikan semasa hari Rabu.

Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 juga meningkat, ditutup pada US$5,569.00 setiap auns troy daripada US$5,348.10 setiap troy auns sebelumnya.

Jumlah dagangan adalah lebih rendah pada 245 lot berbanding 433 lot semalam, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 332 kontrak daripada 524 kontrak sebelumnya.

Pada penetapan tengah hari 28 Jan 2026 di London Bullion Market Association, harga emas fizikal ditetapkan pada US$5,277.80 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan