PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MENINGKAT SEMULA UNTUK DIBUKA TINGGI DIDORONG SENTIMEN LEBIH BAIK

30/01/2026 10:52 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi pada Jumaat berikutan sentimen pasaran yang lebih baik selepas bursa itu menjelaskan bahawa tindakan Morgan Stanley Capital International (MSCI) baru-baru ini adalah terhadap Indonesia dan tiada kebimbangan sama dijangka melibatkan Malaysia.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.24 mata kepada 1,738.13, selepas dibuka tinggi 1.73 mata kepada 1,732.62 daripada 1,730.89 semasa ditutup pada Khamis.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 190 berbanding 168 manakala 303 kaunter tidak berubah, 2,029 tidak diniagakan dan 61 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 171.43 juta saham bernilai RM114.85 juta.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Fad’l Mohamed berkata piawaian pendedahan dan ketelusan bursa kekal kukuh dan tawaran awam permulaan dengan apungan bebas di bawah 25 peratus tidak mewujudkan kebimbangan kepada MSCI.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Bursa Malaysia telah menegaskan bahawa tahap apungan bebas tempatan kekal dalam parameter yang ditetapkan dan tidak mewujudkan risiko di bawah keperluan MSCI.

“FBM KLCI terus merosot kepada paras 1,730 pada Khamis. Kami berpandangan bahawa aktiviti jualan mungkin berlebihan, didorong oleh kebimbangan daripada jualan di Indonesia berkaitan apungan bebas dalam kalangan syarikat yang disenaraikan,” katanya kepada Bernama.

Thong menjangka aliran meningkat semula tidak lama lagi dengan indeks dijangka berada antara 1,730 dan 1,750 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing meningkat 10 sen kepada RM11.74 dan RM8.57, Public Bank naik lima sen kepada RM4.90 manakala Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM13.96 dan IHH Healthcare mendatar pada RM8.86.

Dalam senarai paling aktif, Dagang NeXchange merosot 1.5 sen kepada 30.5 sen, Pharmaniaga meningkat setengah sen kepada 29 sen, SP Setia naik 3.5 sen kepada RM1.01 dan Capital A mendatar pada 63.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Hong Leong Bank, naik 28 sen kepada RM24.60; Hong Leong Industries meningkat 12 sen kepada RM17.00; Frontken Corporation menambah lapan sen kepada RM3.93 dan Hibiscus Petroleum menokok enam sen kepada RM1.55.

Kaunter paling rugi ialah Hong Leong Financial Group, merosot 30 sen kepada RM21.40; Allianz Malaysia menurun 28 sen kepada RM22.74; New Hoong Fatt Holdings berkurangan lima sen kepada RM1.56 dan Azam Jaya menyusut 4.5 sen kepada 95 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 52.03 mata kepada 12,551.87, Indeks FBM Emas naik 50.78 mata kepada 12,742.28, Indeks FBM Emas Shariah menambah 24.10 mata kepada 12,302.33, Indeks FBM ACE menokok 7.95 mata kepada 4,751.73 dan Indeks FBM Mid 70 naik 71.87 mata kepada 17,539.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 150.73 mata kepada 21,287.07, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.23 mata kepada 176.37, Indeks Perladangan naik 10.72 mata kepada 8,375.70 dan Indeks Tenaga menambah 8.57 mata kepada 761.63.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan