Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia tidak meneruskan peningkatan awalnya apabila ditutup lebih rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat kenaikan baru-baru ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.44 mata atau 0.31 peratus kepada 1,742.82 daripada 1,748.26 semasa ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.84 mata kepada 1,746.42 dan kemudiannya mencecah paras tertinggi harian 1,751.22 pada awal dagangan sebelum menyusut ke paras terendah harian iaitu 1,740.49 pada sesi pertengahan petang.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 602 berbanding 462 dengan 558 kaunter tidak berubah, 1,013 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.59 bilion saham bernilai RM2.86 bilion daripada 3.25 bilion saham bernilai RM3.34 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya ditutup tinggi berikutan jualan dalam saham teknologi telah diimbangi oleh minat baharu terhadap kaunter perindustrian, kewangan dan tenaga.
“Sementara itu, sentimen pelabur kekal berwaspada selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menamakan bekas gabenor Rizab Persekutuan (Fed) Kevin Warsh sebagai pilihannya untuk menjadi Pengerusi Fed yang seterusnya.
“Pendirian beliau yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah telah menguatkan lagi jangkaan bahawa kadar faedah kekal tinggi dalam tempoh lebih panjang,” katanya kepada Bernama.
Di dalam negara, Thong berpendapat aktiviti pengambilan untung hari ini adalah penurunan sementara yang baik bagi membolehkan pasaran melakukan penyesuaian dengan kenaikan baru-baru ini dan membina asas lebih kukuh sebelum kenaikan seterusnya.
“Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan kami antara 1,730 dan 1,760,” katanya.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula berkata FBM KLCI yang ditutup lebih rendah hari ini mencerminkan limpahan sentimen daripada pasaran global.
“Prestasi semalaman di Wall Street menyaksikan saham teknologi mendahului penyusutan yang mendadak apabila pelabur menilai semula penilaian yang tinggi dalam saham berkaitan kecerdasan buatan dan perisian.
“Walaupun FBM KLCI tidak mempunyai pendedahan langsung kepada sektor teknologi, penanda aras utama dunia terus berperanan sebagai penambat sentimen.
“Oleh itu, sentimen untuk mengelakkan risiko dalam sektor teknologi global telah menyumbang kepada langkah mengurangkan risiko secara taktikal dan aktiviti pengambilan untung merentasi pasaran serantau, termasuk Malaysia,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare menambah 8.0 sen kepada RM8.96, Public Bank susut 4.0 sen kepada RM4.91, CIMB menyusut 6.0 sen kepada RM8.50, Tenaga Nasional berkurangan 2.0 sen kepada RM14.10 manakala Maybank tidak berubah kepada RM11.94.
Bagi saham paling aktif, NetX dan Tanco masing-masing meningkat 1.0 sen kepada 5.5 sen dan RM1.34, Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 80 sen manakala Pharmaniaga dan Capital A masing-masing tidak berubah kepada 32.5 sen dan 59.5 sen.
Antara saham paling untung, United Plantations meningkat 62 sen kepada RM29.80, Fraser & Neave menokok 56 sen kepada RM35.36, Dutch Lady Milk Industries naik 24 sen kepada RM33.52, QL Resources menambah 16 sen kepada RM4.16, dan Hong Leong Financial Group meningkat 14 sen kepada RM22.76.
Malaysian Pacific Industries mendahului kaunter penurunan, dengan menyusut 56 sen kepada RM32.50, Petronas Dagangan rendah 36 sen kepada RM19.96, Nestle susut 30 sen kepada RM111.90, Pentamaster berkurangan 13 sen kepada RM3.19, dan Sunway Construction Group rendah 12 sen kepada RM6.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 24.71 mata kepada 12,572.61, Indeks FBM Emas merosot 22.70 mata kepada 12,753.71, Indeks FBM Emas Shariah rendah 11.57 mata kepada 12,286.0, Indeks FBM ACE merosot 10.90 mata kepada 4,696.15 manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 31.14 mata kepada 17,508.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 42.14 mata kepada 21,482.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.86 mata kepada 176.58 namun Indeks Perladangan meningkat 11.90 mata kepada 8,384.95 manakala Indeks Tenaga naik 5.83 mata kepada 755.91.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.53 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 1.73 bilion unit bernilai RM3.06 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 650.30 juta unit bernilai RM81.10 juta daripada 1.03 bilion unit bernilai RM123.86 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 409.26 juta unit bernilai RM121.48 juta daripada 504.24 juta unit bernilai RM148.01 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 224.67 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (214.17 juta), pembinaan (155.29 juta), teknologi (190.27 juta), perkhidmatan kewangan (109.96 juta), hartanah (202.63 juta), perladangan (25.14 juta), amanah pelaburan hartanah (27.41 juta), dana tertutup (361,900), tenaga (72.23 juta), penjagaan kesihatan (198.43 juta), telekomunikasi dan media (47.94 juta), pengangkutan dan logistik (37.18 juta), utiliti (26.66 juta), dan amanah perniagaan (366,200).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial