PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DITUTUP RENDAH

13/02/2026 06:26 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Jumaat, didorong oleh penurunan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras dan niaga hadapan getah serantau yang lemah, kata peniaga.

Beliau berkata harga minyak terus merosot hari ini selepas jatuh hampir tiga peratus pada sesi sebelumnya berikutan unjuran lebihan bekalan yang ketara dan inventori yang meningkat menjejaskan sentimen pasaran.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent merosot 0.28 peratus kepada US$67.33 setong.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot untuk tiga sesi berturut-turut pada Jumaat berikutan jumlah dagangan berkurangan menjelang cuti panjang selama seminggu di China.

Katanya sentimen pasaran terus terjejas oleh ketegangan di Timur Tengah yang meningkat dan penurunan jualan kenderaan elektrik (EV) di seluruh dunia.

“Menurut laporan media, Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan untuk menghantar kapal pengangkut pesawat kedua ke Timur Tengah dalam ketegangan meningkat dengan Iran.

“Data Benchmark Mineral Intelligence menunjukkan bahawa pendaftaran EV global merosot tiga peratus tahun ke tahun pada Januari berikutan pengurangan subsidi di China dan perubahan dasar AS,” katanya.

Bagaimanapun, penurunan dikekang oleh data ekonomi AS yang positif dan jangkaan data inflasi AS yang stabil.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 merosot 7.5 sen kepada 757 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan satu sen kepada 578.5 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup dari Isnin, 16 Februari hingga Rabu, 18 Februari sempena cuti Tahun Baharu Cina dan akan beroperasi semula pada Khamis, 19 Februari.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan