PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI DIPENGARUHI ISYARAT FED AS

20/02/2026 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan penurunan pada tengah hari ini berikutan isyarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang cenderung menaikkan kadar faedah serta ketegangan berterusan di Timur Tengah yang menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.96  mata atau 0.11 peratus, kepada 1,750.15 berbanding paras 1,752.11 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka sedikit lebih tinggi pada 1,752.79 dan bergerak antara 1,746.08 dan 1,754.20 sepanjang sesi pagi.

Di keseluruhan pasaran, jumlah kaunter rugi melebihi kaunter untung, 624 berbanding 260, manakala 473 kaunter kekal tidak berubah, 1,401 kaunter tidak diniagakan, dan 24 kaunter digantung.

Jumlah dagangan pasaran berada pada 1.10 bilion saham bernilai RM1.03 bilion.

Dalam nota penyelidikan, Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan indeks penanda aras akan kekal bergerak dalam julat semasa, dengan paras rintangan berada di paras 1,771.

“Bagaimanapun, kami melihat sebarang penurunan sebagai bersifat sementara dan konstruktif, mencerminkan strategi pengurangan risiko dan penyesuaian portfolio, bukannya kelemahan asas, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh dan kemasukan semula aliran dana asing.

"Selain itu, pengukuhan ringgit yang lebih stabil berikutan kelemahan dolar AS secara menyeluruh, sambutan Tahun Baru Cina yang positif, pengurangan pergantungan kepada dolar AS, jangkaan penurunan kadar oleh Fed AS, serta asas ekonomi yang semakin baik, pembaharuan kerajaan dan kepastian dasar di Malaysia yang semakin baik,” katanya.

Antara saham wajaran berat, Maybank meningkat 14 sen kepada RM12.20, manakala Public Bank susut tiga sen kepada RM5.03, CIMB turun dua sen ke RM8.45, Tenaga Nasional susut 10 sen ke RM14.16, dan IHH Healthcare merosot lapan sen kepada RM8.83.

Kaunter paling aktif, Astro Malaysia naik 1.5 sen ke 90 sen, manakala Zetrix AI dan VS Industry masing-masing susut satu sen ke 84.5 sen dan 38.5 sen. Tanco meningkat dua sen ke RM1.46, manakala Bina Puri menurun setengah sen ke 29.5 sen.

Selain Maybank, antara kaunter utama yang mencatat kenaikan termasuk Nestle menokok 50 sen kepada RM110, 99 Speed Mart dan Chin Teck Plantations masing-masing naik 14 sen kepada RM3.64 dan RM10.70, manakala IOI Properties meningkat 10 sen ke RM3.56.

Kaunter paling rugi, PPB susut 26 sen kepada RM10.84, Allianz Malaysia turun 22 sen ke RM22.44, Hong Leong Bank merosot 18 sen ke RM24), Sunway Construction menguncup 16 sen kepada RM6.25 dan Hong Leong Industries turun 14 sen kepada RM19.06.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 23.02 mata kepada 12,655.45, Indeks FBM Emas susut 26.02 mata ke 12,834.45, Indeks FBM Mid 70 turun 72.45 mata kepada 17,759.35, Indeks FBM Emas Shariah merosot 47.31 mata kepada 12,356.48, dan Indeks FBM ACE turun 28.63 mata kepada 4,799.88.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 23.68 mata kepada 21,588.78, manakala Indeks Perladangan turun 2.11 mata kepada 8,400.20, Indeks Tenaga susut 0.90 mata kepada 773.21, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menurun 1.14 mata kepada 177.36.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan