Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh sentimen pasaran yang berhati-hati di tengah-tengah rundingan berterusan AS dan Iran membabitkan program nuklear, kata seorang ahli ekonomi.
Pada 6 petang ini, ringgit mengukuh ke paras 3.8995/9055 berbanding dolar AS daripada paras penutup 3.9045/9125, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tempoh selama 10-15 hari bagi mencapai persetujuan berhubung nuklear yang ditetapkan oleh Presiden Donald Trump telah mencetuskan persepsi menolak risiko.
“Kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya konflik ketenteraan telah menyebabkan harga minyak mentah Brent naik 0.89 peratus kepada US$72.30 setong,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kerajaan AS turut bertindak menempatkan aset ketenteraannya di Timur Tengah.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.5092/5132 daripada 2.5221/5275 semalam, mengukuh berbanding euro kepada 4.5882/5952 daripada 4.6073/6168 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2511/2591 daripada 5.2730/2838.
Selain itu, ringgit turut mencatat prestasi mengukuh berbanding mata wang negara anggota ASEAN.
Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0724/0774 daripada 3.0817/0882 semalam, mengukuh berbanding baht Thailand pada 12.4952/5216 daripada 12.5196/5521, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.8/231.3 daripada 231.1/231.6 dan meningkat berbanding peso Filipina pada 6.70/6.72 daripada 6.73/6.75 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial