PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA CECAH PARAS TERTINGGI DALAM TEMPOH LAPAN TAHUN BERBANDING DOLAR AS

23/02/2026 09:31 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Ringgit mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan dagangan hari ini, kata ahli ekonomi.

Ini disokong oleh data ekonomi domestik yang kukuh dan prospek pertumbuhan AS yang lemah berikutan pasaran menilai ketidaktentuan baharu berkaitan dasar tarif Washington.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 3.8835/9065 berbanding dolar AS daripada 3.8995/9055 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat bahawa data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 mencatatkan pertumbuhan yang perlahan pada 1.4 peratus manakala kadar inflasi kekal melebihi sasaran dua peratus selain sentimen pengguna dan perniagaan yang lemah.

Sementara itu, tarif import AS kembali menjadi tumpuan peniaga susulan keputusan Mahkamah Agung bahawa Presiden AS Donald Trump tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengenakan tarif global secara menyeluruh di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

“Presiden Trump tetap bertegas untuk mengenakan tarif menggunakan undang-undang lain, pada masa yang sama, beberapa rakan dagang telah menyatakan bahawa mereka akan menghentikan proses ratifikasi perjanjian perdagangan dengan AS.

“Dalam aspek lain, pemisahan kuasa masih wujud di AS yang akan memberikan sedikit kelegaan bahawa terdapat mekanisme semak dan imbang untuk memastikan keadaan ekonomi yang adil dan saksama,” katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu, Trump berkata beliau akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan mahkamah yang membatalkan kebanyakan dasar perdagangannya sebelum ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5162/5314 daripada 2.5092/5132 semasa ditutup pada Jumaat lepas, menurun berbanding pound kepada 5.2540/2851 daripada 5.2511/2591 dan rendah berbanding euro kepada 4.5946/6218 daripada 4.5882/5952 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0712/0899 daripada 3.0724/0774 pada Jumaat lepas, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 229.9/231.4 daripada 230.8/231.3 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.72 daripada 6.70/6.72.

Bagaimanapun, merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5201/6024 daripada 12.4952/5216  sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan